Maszlee sindir dakwaan ‘lapuk’ pemberi maklumat

Maszlee sindir dakwaan ‘lapuk’ pemberi maklumat

Bekas Menteri Pendidikan itu turut mempersoalkan kredibiliti sumber berhubung dakwaan rasuah terhadapnya.

Maszlee Malik membidas dakwaan ‘lapuk’ yang dikenakan terhadapnya.
PETALING JAYA:
Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menyindir pihak yang melemparkan dakwaan terhadapnya berhubung rasuah dan penyelewengan supaya mencari fakta lebih baik kerana apa yang didakwa itu “terlalu lapuk”.

Menerusi ciapannya di Twitter, beliau mempersoalkan kredibiliti sumber yang dikatakan sebagai pemberi maklumat.

“Sumber berkata?

“Semalam (RM) 50,000, hari ini (RM) 200,000? Sejujurnya peruntukan untuk menteri lebih daripada itu,” tulisnya.

Memetik sumber, The Star melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menyiasat “hadiah” RM200,000 ketika Maszlee menyandang jawatan Menteri Pendidikan.

Laporan itu berkata, wang berkenaan ternyata untuk “tujuan politik”.

Bagaimanapun, Maszlee dalam ciapannya hari ini menulis dengan emoji ketawa: “Aktiviti politik? Adakah saya orang parti ketika itu?”

Malaysiakini yang memetik sumber tidak dinamakan berkata, dakwaan itu melibatkan wang daripada pembekal kementerian dan penggunaan Toyota Vellfire.

Namun Maszlee dalam ciapannya mempersoal: “Vellfire? Adakah saya pernah memilikinya?

“Yang digunakan (ketika) di Kementerian Pendidikan adalah milik kerajaan… bukan milik saya,” kata Ahli Parlimen Simpang Renggam itu.

Beliau kemudian menyindir sumber “Carilah dakwaan lain, yang ini terlalu lapuk”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.