‘Rekayasa, dusta baur fitnah, ‘ Maszlee nafi dakwaan terima wang, Vellfire

‘Rekayasa, dusta baur fitnah, ‘ Maszlee nafi dakwaan terima wang, Vellfire

Maszlee Malik menyifatkan dakwan itu sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat terhadap beliau.

SPRM sebelum ini mengeluarkan kenyataan memaklumkan terdapat aduan dibuat terhadap Maszlee Malik.
PETALING JAYA:
Bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik menafikan dakwaan rasuah terhadapnya serta menyifatkannya sebagai fitnah oleh pihak tertentu menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ahli Parlimen Simpang Renggam itu berkata, beliau bersedia disiasat berhubung dakwaan menerima sejumlah wang bagi digunakan untuk aktiviti politiknya.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah ini.

“Saya melihat perkara ini sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadap saya menjelang PRN Johor dan komitmen saya terhadap isu-isu pendidikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, hidup dan perjuangannya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib orang kurang upaya (OKU), nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan integriti.

Beberapa media memetik sumber sebagai berkata, Maszlee didakwa menerima sejumlah wang dan sebuah kenderaan jenis Vellfire dari sebuah syarikat di bawah Kementerian Pendidikan semasa beliau menjadi menteri.

Terdahulu, SPRM menerusi satu kenyataan memaklumkan terdapat aduan dibuat terhadap Maszlee.

Dua aduan diterima SPRM berhubung kesalahan rasuah dan penyelewengan dan siasatan sedang dijalankan oleh agensi itu.

Dalam pada itu, SPRM menafikan sekeras-kerasnya tuduhan kononnya pegawai suruhanjaya itu melakukan intimidasi sebagaimana didakwa Maszlee.

Menurut kenyataan SPRM, pihaknya menerima dua aduan terhadap bekas Menteri Pendidikan itu dan sedang menjalankan siasatan berhubung perkara tersebut.

SPRM menegaskan bahawa proses siasatan perlu dijalankan setelah terdapat aduan rasmi berhubung sesuatu kesalahan rasuah dan penyelewengan sebagaimana diperuntukan oleh undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.