
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, kejadian yang bersifat setempat serta bersaiz sangat kecil itu meningkatkan intensiti dengan sangat cepat dan amat sukar untuk diramal.
Beliau berkata, MetMalaysia sudah mengeluarkan amaran kejadian ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang membabitkan kawasan Perak bermula jam 3.40 petang, semalam.
Katanya, maklumat itu dikemas kini pada jam 6.55 petang dan 7.55 malam membabitkan beberapa daerah di Perak berdasarkan maklumat dan analisis cuaca terkini dan disebarkan melalui pelbagai medium sebaran rasmi MetMalaysia.
“Kejadian ribut petir dan angin kencang dilaporkan berlaku di daerah Kinta, Perak sekitar jam 6.30 petang semalam dan berdasarkan imej radar serta satelit, beberapa tompok awan hujan kecil terbentuk di sempadan Perak dan Pahang pada jam 5.50 petang.
“Tompokan awan juga tidak berkembang dengan ketara, namun awan hujan bersaiz kecil di daerah Kinta meningkat ke intensiti kuat dalam tempoh yang sangat singkat sekitar jam 6.20 hingga 6.40 petang,” katanya.