Srikandi Bersatu serah 15 nama, harap parti beri peluang tanding PRN Johor

Srikandi Bersatu serah 15 nama, harap parti beri peluang tanding PRN Johor

Ketuanya Rina Harun berkata beliau berharap wanita diberi peluang untuk menjadi calon pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang.

Ketua Srikandi Bersatu Rina Mohd Harun berharap calon wanita berkenaan akan diberi peluang dan ruang sewajarnya oleh pucuk pimpinan untuk dipilih mewakili parti dalam PRN Johor akan datang.
PETALING JAYA:
Srikandi Bersatu sudah menyerahkan 15 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon pada pilihan raya negeri (PRN) Johor, kata Ketuanya, Rina Harun.

Menurutnya, beliau berharap calon wanita berkenaan akan diberi peluang dan ruang sewajarnya oleh pucuk pimpinan untuk dipilih mewakili parti.

“Kita sudah serahkan nama 15 calon wanita untuk PRN Johor.

“Terserah kepada Presiden (Muhyiddin Yassin) dan pucuk pimpinan untuk membuat keputusan. Namun saya percaya wanita akan diberi ruang dan peluang sewajarnya,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat berkata demikian pada sidang media selepas menyantuni kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Persatuan Kebajikan Chen Ai, di sini sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Rina berkata, jentera parti juga sudah digerakkan untuk menghadapi PRN Johor yang akan diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 9 Feb nanti.

“Kami di Srikandi akan menunggu ‘signal’ (isyarat) dari pucuk pimpinan untuk langkah seterusnya. Di peringkat Srikandi pula, kami juga telah bermesyuarat. Jentera parti telah digerakkan,” katanya.

Mengulas mengenai dakwaan terdapat caj tambahan perkhidmatan 2% kepada penerima Program Bayaran Bantuan Kewangan Tanpa Tunai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKMPay), Rina berkata tuduhan itu tidak benar sama sekali.

“Penerima bantuan menerima sepenuhnya bantuan yang melibatkan pembahagian 50% secara tunai dan 50% secara tanpa tunai tanpa ada sebarang pemotongan atau sebarang caj dikenakan,” jelasnya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat Rina Harun menyantuni kanak-kanak Orang Kurang Upaya (OKU) Persatuan Kebajikan Chen Ai, Petaling Jaya, sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Bagaimanapun, katanya, satu Jawatankuasa Khas akan ditubuhkan bagi menilai semula keberkesanan pelaksanaan projek rintis JKMPay.

“Kita akan nilai dengan teliti segala usul dan cadangan yang dikemukakan oleh pelbagai pihak,” katanya.

Melalui JKMPay, penerima bantuan akan menerima 50% daripada jumlah kadar bantuan yang diluluskan dan dikreditkan ke dalam akaun Bank Islam manakala baki 50% lagi akan dimasukkan ke dalam Kad Cashless JKMPay.

Sebelum ini, Gabungan Persatuan OKU di seluruh negara menyerahkan memorandum bantahan kepada Rina yang mendesak program itu dimansuhkan.

Mereka mendakwa pelaksanaan JKMPay itu menindas golongan OKU kerana menyekat kebebasan mereka untuk berbelanja melalui wang bantuan yang diterima.

Program rintis JKMPay yang bermula Feb tahun lalu membabitkan 3,722 penerima baru daripada 519,409 penerima bantuan JKM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.