
Sebaliknya, beliau berkata, ruang lebih untuk tujuan berkenaan mampu disediakan radio RTM kerana ia tidak membabitkan kos tinggi.
“Muncul secara peribadi tidak boleh ambil waktu siaran televisyen, tetapi radio boleh memberikan ruang yang lebih,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Annuar berkata, kerajaan bersetuju memberikan peluang berkenaan kepada semua calon, termasuk pembangkang kerana mereka berfungsi menjayakan proses demokrasi.
“Dahulu tidak ada peluang (pembangkang muncul di media elektronik RTM), tetapi sekarang kita berikan peluang yang sama kerana rakyat yang membuat pilihan,” katanya.
Pada PRN Melaka November lalu, kerajaan membenarkan RTM menyiarkan poster dan biodata calon, termasuk pembangkang mulai 13 Nov 2021, iaitu tujuh hari sebelum hari mengundi.
Penyiaran poster dan biodata calon itu dilakukan secara adil dan saksama berikutan prosedur operasi standard (SOP) ketat berkaitan Covid-19 pada PRN berkenaan.
Pada PRN itu, calon dan jentera pilihan raya dilarang menganjurkan ceramah, syarahan, kempen fizikal dan ziarah rumah ke rumah, aktiviti secara ‘walkabout’ dan pengedaran risalah kempen kepada orang awam secara bersemuka, manakala kenderaan dipasang alat pembesar suara dilarang berhenti di sepanjang laluan dalam menyampaikan ceramah.