Rider kendong anak buta, terpaksa telan kritikan masyarakat

Rider kendong anak buta, terpaksa telan kritikan masyarakat

Setiap hari Azimah Abd Rahim menghantar makanan pelanggan bersama anak kecilnya yang buta sejak lahir.

Senyuman dan tawa Nur Ainul Zahira Rashidi menjadi penguat semangat Azimah Abd Rahim.
KUALA LUMPUR:
Berderau rasanya darah melihat seorang ibu membawa motosikal sambil mengendong anak kecil, dipintas kereta dan kenderaan besar lain yang bergegas ke destinasi masing-masing.

Kalau diikutkan hati, Azimah Abd Rahim, 37, seorang ibu tunggal dari Kampung Haji Abdullah Hukum, tidak mahu membawa Nur Ainul Zahira Rashidi, 5, bersamanya ketika menghantar makanan pelanggan.

Tetapi tiada siapa sanggup menjaga anak istimewa itu, yang buta sejak lahir tetapi hiperaktif.

“Saya tak tahu siapa yang boleh jaga dia, kerenah dia, memang orang tak boleh nak tahan jaga dia,” katanya kepada FMT.

Azimah tidak dapat menahan air mata mengenangkan tiada pengasuh yang mampu menjaga anaknya yang buta dan hiperaktif.

Ainul bukan sahaja buta, tetapi tidak bercakap sejak kematian neneknya tiga tahun lalu. Meskipun begitu, deria rasa dan dengarnya tajam.

“Seminggu saya hantar dekat orang (pengasuh), dia ada kesan-kesan (pada tubuh),” tambahnya, yang tidak pasti ia angkara perbuatan orang lain atau terjatuh.

“Saya dah fobia…(jadi) saya bawa anak ‘ride’ sekali.”

Azimah sebenarnya sedar jegilan orang ramai terhadapnya. Selagi keadaan memaksa, wanita ini akan telan semua kritikan masyarakat.

Demi menyara anak dan dirinya, wanita ini meredah jalan raya dengan tawakal dan doa.

“Hari itu, seminggu (lalu), saya eksiden cuma saya sahaja yang luka, anak tiada luka. Nak elak daripada kereta laju jadi terlanggar lopak,” ujarnya.

Azimah masih berusaha mencari pengasuh yang sanggup menjaga anak seistimewa Ainul sementara dia keluar bekerja.

“Bukan saya tak sayang anak tapi tiada siapa yang nak jaga dia,” katanya.

Nur Ainul Zahira Rashidi buta sejak lahir.

Kisah wanita cekal ini mendapat perhatian ramai yang sudi membantu.

Penceramah terkenal, Ebit Lew, misalnya sudi menyewakan rumah untuk dua beranak ini, manakala Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sedia membantu Azimah memohon dan menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

Jabatan Kebajikan Masyarakat pula menambah bantuan bulanan untuk Azimah, dan menempatkan Ainul di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) khas buat anak-anak kelainan upaya (OKU) untuk pendidikan awal.

Sudah seminggu Ainul mengikuti program itu, dalam kelas dari pagi hingga tengah hari.

Selepas kelas Azimah masih terpaksa mengendong anaknya sambil menghantar makanan. Selagi tiada pengasuh yang benar-benar sanggup menjaga anak istimewa itu dengan baik, ibu ini hanya dapat mendoakan keselamatan dirinya dan Ainul.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Jika anda ingin membantu, bantuan tunai boleh disalurkan ke akaun bank Azimah Abd Rahim di 14180020200310 (Bank Islam), atau hubungi 019 2409380.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.