Bekas TYT Sarawak Abang Muhammad Salahuddin meninggal dunia

Bekas TYT Sarawak Abang Muhammad Salahuddin meninggal dunia

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang namun waktunya belum diputuskan.

Abang Muhammad Salahuddin menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014. (Gambar Bernama)
KUCHING:
Bekas Yang Dipertua Negeri Sarawak Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng, 100, meninggal dunia pada 11.47 malam tadi di Pusat Perubatan Normah, akibat sakit tua.

Perkara itu disahkan oleh menantu, Wan Ibrahim Omar kepada Bernama.

Beliau berkata jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Semariang namun waktunya belum diputuskan.

Abang Muhammad Salahuddin, yang lahir pada 27 Ogos 1921, menjadi Yang Dipertua Negeri Sarawak dari 1977 hingga 1981 dan dilantik semula memegang jawatan itu pada 2001 hingga 2014.

Beliau adalah individu pertama berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri sebanyak dua kali.

Pada 2000, beliau menjadi pemangku Yang Dipertua Negeri Sarawak kerana penyandang jawatan itu Ahmad Zaidi Adruce tidak dapat menjalankan tugas kerana jatuh sakit.

Ahmad Zaidi meninggal dunia pada Disember 2000 yang menyaksikan Abang Muhammad Salahuddin dilantik semula secara tetap ke jawatan itu pada Februari 2001 dengan penggalnya berakhir secara rasmi pada 28 Feb 2014.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.