
Jurucakap Persatuan Pergerakan Pengguna Malaysia (MCM) dan Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) berkata, sudah tiba masanya monopoli Touch ‘n Go dipecahkan.
Pada Selasa, Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof berkata, penggunaan khidmat penyedia bayaran lain akan dibenarkan sebaik sahaja syarikat konsesi lebuh raya bersedia untuk bekerjasama dengan mereka dan apabila penembusan sistem pengecaman frekuensi radio (RFID) mencapai kadar yang membolehkan perjalanan dibuat tanpa halangan.
Setiausaha Agung MCM Sukhdave Singh berkata, Touch ‘n Go memegang monopoli terlalu lama dan kekurangan persaingan mewujudkan risiko pasaran disalah guna.
“Ketika negara menuju pendigitalan, penting untuk membenarkan penggiat lain dalam ruang ini,” katanya kepada FMT.
“Pengusaha tempat letak kenderaan telah membenarkan fungsi imbas kad debit dan kredit untuk membayar caj meletak kenderaan. Apakah yang menghalang pengendali lebuh raya kita berbuat perkara sama?”
Katanya, sistem RFID mengalami terlalu banyak gangguan yang menyusahkan pengguna jalan raya.
“Dalam pada itu, alternatif mesti disediakan sebelum peratusan besar pengguna jalan raya berhijrah kepada sistem RFID,” katanya.
“Mereka yang ingin guna alternatif mesti dibenarkan berbuat demikian.”
Ketua Pegawai Eksekutif FOMCA Saravanan Thambirajah berkata, keputusan membenarkan sistem bayaran tol alternatif akan memaksa syarikat bersaing menawarkan produk dan diskaun yang baik.
Beliau juga berkata, penting untuk terus menyediakan mod bayaran manual bagi pengguna jalan raya yang tidak mempunyai RFID.
“Tak boleh paksa semua orang gunakannya (RFID), terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.
Perunding pengangkutan Rosli Azad Khan mempersoalkan sama ada kerajaan sedang menggalakkan satu lagi monopoli dengan peralihan kepada RFID.
“Jika bentuk bayaran e-dompet lain dibenarkan tetapi hanya boleh dilakukan melalui Touch ‘n Go, maka tiada bezanya,” katanya.
“PLUS dan Touch ‘n Go masih akan mendapat manfaat. Format ini tidak boleh diterima, terutamanya apabila setiap pelekat RFID berharga RM35.”
Beliau berkata, langkah terbaik yang boleh diambil kerajaan adalah dengan membenarkan lebih banyak khidmat penyedia bayaran tol supaya orang ramai boleh memilih cara bayaran yang sesuai dengan mereka.