
“Institusi awam kita korup,” kata bekas menteri itu sekali gus menambah bahawa “tidak cukup sekadar menghukum individu yang terlibat”.
Beliau mengulas gesaan bekas Ketua Hakim Negara Abdul Hamid Mohamad agar Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan penasihat Barisan Nasional (BN) Najib Razak berundur daripada jawatan masing-masing bagi membersihkan BN daripada noda rasuah yang dikaitkan dengan mereka.
“Hanya menukar dan menghukum individu tidak akan bawa banyak perbezaan,” kata Zaid kepada FMT.
“Individu datang dan pergi tetapi jika anda mahukan kerajaan yang stabil dan kurang korup, institusi mesti bebas daripada rasuah untuk memastikan semua orang terkawal.”
Beliau berkata, masalah utamanya ialah institusi di negara ini mempunyai cacat cela dan tidak beroperasi mengikut undang-undang.
“Ada institusi yang tidak sepatutnya terlibat dalam perniagaan dan pencarian keuntungan seperti (industri) perkayuan dan syarikat telekomunikasi. Ada individu dalam institusi yang tidak sepatutnya membeli saham atau membuat perjalanan secara mewah.”
Katanya, mustahak bagi institusi penting seperti polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diselia oleh suruhanjaya bebas yang akan menjawab kepada Parlimen.
“Janganlah kita mengelak isu itu dengan bercakap tentang perkara yang mudah – Zahid dan Najib. Atau menghentam Umno. Cakaplah mengenai perkara yang lebih nyata.
“Cakaplah tentang bagaimana Parlimen mesti mengikut undang-undang, mengesahkan semua pelantikan penting seperti Ketua Pesuruhjaya SPRM, Ketua Polis Negara, Ketua Setiausaha Negara dan Gabenor Bank Negara antara lainnya,” katanya.