‘Ramai akan ikut jejak saya’, Mazlan Bujang keluar Bersatu, sokong BN

‘Ramai akan ikut jejak saya’, Mazlan Bujang keluar Bersatu, sokong BN

Mazlan Bujang turut mengisytiharkan dirinya tidak menjadi ahli mana-mana parti tetapi menyokong Barisan Nasional.

Mazlan Bujang (tengah) pada sidang media khas di Johor Bahru, hari ini.
JOHOR BAHRU:
Ketua Bersatu Bahagian Tebrau Mazlan Bujang hari ini mengumumkan peletakan jawatannya dan keluar daripada Bersatu berkuat kuasa serta-merta.

Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri itu berkata, turut sama meletakkan jawatan ialah setiausaha dan 23 ketua cawangan serta ahli jawatankuasa Bersatu Bahagian Tebrau.

“Saya juga mengisytiharkan bahawa saya kini tidak menjadi ahli mana-mana parti tetapi menyokong Barisan Nasional.

“Saya juga mengambil pendirian menyokong Hasni Mohammad, Menteri Besar Johor untuk memimpin semula negeri dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan negeri lebih baik untuk kebaikan rakyat Johor,” katanya pada sidang media.

Bagaimanapun dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu yang dikatakan turut hadir pada sidang media hari ini tidak kelihatan.

Mazlan berkata, beliau yakin ramai lagi daripada Bersatu yang akan mengikut jejak langkahnya menjelang pilihan raya negeri (PRN) Johor nanti.

“Sebagaimana pernah dilaporkan media dan ramai rakan saya sendiri cakap saya dianaktirikan dalam Bersatu. Saya tidak mahu cerita sedalam-dalamnya, cukuplah perkataan (dianak tiri) dilontar rakan-rakan saya,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa itu berkata, Bersatu dan Pakatan Harapan (PH) Johor dilihat gagal mengemukakan calon Menteri Besar yang layak mentadbir Johor.

Sejak beberapa hari lalu khabar angin terutama dalam kalangan ahli politik Johor mengaitkan bekas ADUN Puteri Wangsa dan bekas Ketua Bersatu Johor akan meninggalkan Bersatu dan menyertai parti lain.

Terdahulu, pada Isnin Mazlan menafikan akan bertanding atas tiket Bersatu pada PRN Johor dan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.

Pada PRU14, Mazlan meraih 37,545 undi bagi memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa, menewaskan empat pencabarnya, iaitu Abd Aziz Tohak daripada BN, Abdullah Husin (PAS), Lim Yak Hong dan Ting Choon Hai (masing-masing Bebas).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.