Lelaki OKU mengaku tak salah curi baju dalam, ceroboh universiti

Lelaki OKU mengaku tak salah curi baju dalam, ceroboh universiti

Abu Arif Atemin yang pekak dan bisu berdepan dua pertuduhan didakwa secara berasingan.

Abu Arif Atemin, 38, yang pekak dan bisu, berdepan dua pertuduhan dberasingan di hadapan majistret Nordiana Abd Aziz dan majistret Noor Mazrinie Mahmood. (Gambar Reuters)
PETALING JAYA:
Seorang lelaki kurang upaya (OKU) mengaku tidak bersalah di dua Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas pertuduhan mencuri pakaian dan baju dalam penuntut perempuan serta menceroboh sebuah universiti awam di Kuala Nerus.

Abu Arif Atemin, 38, yang pekak dan bisu, berdepan dua pertuduhan secara berasingan di hadapan majistret Nordiana Abd Aziz dan majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa mencuri sembilan helai seluar dalam dan tiga helai baju dalam milik tiga penuntut perempuan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah kolej kediaman sebuah universiti di Kuala Nerus, pada 8.37 malam, 24 Jan lalu, menurut laporan Harian Metro.

Berikutan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret berasingan, tertuduh didakwa menceroboh dengan memasuki kawasan universiti berkenaan pada jam 6 petang pada hari sama.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM3,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kedua-dua mahkamah kemudian menetapkan 2 Mac sebagai tarikh sebutan semula kes untuk lantikan jurubahasa khas.

Nor Diana dan Noor Mazrinie masing-masing membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,000 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hanis Nabihah Hizamul-Din dan Iffah Nabihah Mohd Ishak, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, media melaporkan seorang lelaki OKU ditahan selepas disyaki mencuri pakaian dalam pelajar perempuan di sebuah universiti awam di Kuala Nerus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.