
Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong berkata, pelan itu menekankan 10 bidang keutamaan aspek keselamatan, antaranya pemantauan dan penilaian yang efektif, penunggangan motosikal yang lebih selamat, pengurusan kelajuan dan perjalanan pekerjaan yang selamat.
“PKJRM 2022-2030 mempunyai pendekatan pelbagai serampang untuk meningkatkan disiplin dan advokasi selain penguatkuasaan,” katanya pada sidang media selepas melancarkan pelan berkenaan dan Kempen Keselamatan Jalan Raya serta Ops Bersepadu sempena Tahun Baharu Cina hari ini.
Berdasarkan statistik polis, sebanyak 418,237 kes nahas jalan raya direkodkan pada 2020 dengan 4,634 kematian, manakala sehingga September 2021, sebanyak 255,532 kes direkodkan dengan 3,302 kes kematian.
“Setiap nahas jalan raya yang berlaku bukan sahaja akan menimbulkan risiko kecederaan atau kematian, namun akan turut membawa kepada kerugian ekonomi yang tinggi sama ada bagi tujuan pembaikan infrastruktur, bayaran pampasan dan kos perubatan,” katanya.
Dalam pada itu Wee berkata, Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), agensi kerajaan, syarikat swasta serta NGO komited meneruskan Kempen Keselamatan Jalan Raya & Ops Bersepadu serta mengekalkan tema “Pandu Cermat, Sampai Selamat”.
Katanya, kempen dan operasi pada tahun ini menekankan empat program utama, iaitu pendidikan dan advokasi, penguatkuasaan, pencegahan dan pemantauan serta penilaian.
Menurut Wee, kempen dan operasi yang bermula pada 25 Jan hingga 8 Feb itu membabitkan 2,200 anggota penguat kuasa JPJ, antaranya bagi menjalankan pemeriksaan terhadap bas, pemantauan dan rondaan di jalan raya.
Wee berkata, Perintah Larangan Pemanduan Kenderaan Barangan akan dikuatkuasakan pada 30 Jan, 31 Jan, 3 Feb dan 4 Feb bagi mengelakkan risiko nahas akibat percampuran trafik di jalan raya dan lebuh raya, selain mengelakkan kesesakan lalu lintas.