
Ketua Pemudanya, Johan Azam Mohd Yasin berkata, ia susulan kedengaran tiga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang akan meninggalkan Bersatu untuk menyertai semula Umno.
Beliau berkata, mereka ialah Rosleli Jahari bekas ADUN Johor Lama dan Rasman Ithnain (Sedili) dan tindakan itu tidak lain bertujuan untuk mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut.
“Mereka mahu menggunakan Umno sebagai medan perjuangan mereka dan kami (Pemuda Umno Kota Tinggi) tidak akan sesekali menyokong mereka mewakili BN pada PRN nanti.
“Pemuda Umno Kota Tinggi tidak akan sesekali menyokong ‘katak politik’ yang tidak mempunyai pendirian dalam perjuangan. Mereka ini tidak layak mendapat tempat lagi dalam parti keramat ini,” katanya di Facebook.
Beliau berkata, pemimpin yang layak disokong ialah mereka yang setia kepada parti dalam apa jua keadaan sekalipun, bukannya berpaling dari medan perjuangan sehingga sanggup menggadaikan maruah demi kuasa dan harta.
Justeru beliau berharap kepimpinan Umno Bahagian Kota Tinggi, negeri mahupun pusat meneliti perkara itu dan membuat keputusan tepat dalam meletakkan calon yang layak bagi mempertahankan kerusi tradisi BN.
Selain Rosleli dan Rasman, seorang lagi ADUN Umno yang turut “melompat” ke Bersatu selepas BN tumbang pada pilihan raya umum lalu ialah Alwiyah Talib di DUN Sedili.
Pada PRN lalu, BN menang 19 kerusi berbanding Pakatan Harapan (PH) 36 kerusi sekali gus membentuk kerajaan negeri manakala PAS hanya menang di DUN Bukit Pasir.
Bagaimanapun tidak lama kemudian, ketiga-tiga bekas ADUN Umno itu mengumumkan keluar parti dan menyertai Bersatu.