
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Ronald Kiandee berkata, daripada jumlah itu, Selangor merupakan negeri paling teruk terjejas dengan nilai kerugian dianggarkan sebanyak RM32.8 juta untuk ketiga-tiga bidang yang membabitkan 1,100 pengusaha.
“Angka ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa apabila survei secara keseluruhan dibuat kerana kerosakan adalah cukup ekstensif sekali,” kata beliau dalam ucapan yang dibacakan oleh timbalannya Ahmad Hamzah pada majlis perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Selangor ke-44 di sini, malam tadi.
Beliau berkata, dalam konteks PPN Selangor, lebih RM1.9 juta nilai kerugian yang direkod adalah membabitkan 91 projek pertanian di lima kawasan Pertubuhan Peladang Kawasan, iaitu Klang, Kuala Langat, Hulu Langat, Beranang dan Sepang.
Ronald juga berharap semua jabatan dan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bersama dengan golongan sasar bekerjasama mengadaptasi teknologi dalam bidang pertanian.
“Daya saing sektor pertanian perlu kita pertingkatkan agar dapat menghadapi cabaran pada masa mendatang. Tidak kurang penting, kita mesti terus mampu menarik minat golongan muda untuk menceburi industri agromakanan, bukan sekadar menjadi petani tetapi pengusaha yang inovatif, moden dan berkepakaran tinggi.
“Peremajaan sektor agromakanan ini penting agar penggunaan teknologi revolusi industri 4.0 dalam industri agromakanan dapat direalisasikan,” katanya.