‘Semua terjawab esok’, kata Mazlan Bujang di sebalik khabar angin tinggalkan Bersatu

‘Semua terjawab esok’, kata Mazlan Bujang di sebalik khabar angin tinggalkan Bersatu

Mazlan Bujang yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor berkata semuanya akan dijelaskan pada sidang media esok.

Isnin lalu Mazlan Bujang menafikan akan bertanding atas tiket Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat. (Gambar Bernama)
JOHOR BAHRU:
Ketua Bersatu Bahagian Tebrau Mazlan Bujang meminta semua pihak menunggu sidang media diadakan esok bagi menjawab khabar angin mendakwa beliau akan meninggalkan parti itu.

Mazlan yang juga Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya berkata, semuanya akan dijelaskan esok pada sidang media berkenaan.

“Tunggulah esok sidang media. Ya semuanya akan terjawab esok,” katanya kepada FMT.

Satu sidang media khas dijadualkan akan berlangsung pada 2 petang esok di bangunan bersebelahan Pejabat Umno Johor dan Mazlan mengesahkan kehadirannya pada sidang media itu.

Menurut sumber, difahamkan dua lagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Bersatu dijangka menyertai Mazlan dan turut hadir dalam sidang media esok.

Sejak beberapa hari lalu, khabar angin kuat terutama dalam kalangan ahli politik Johor mengaitkan bekas ADUN Puteri Wangsa dan bekas Ketua Bersatu Johor akan meninggalkan Bersatu dan menyertai parti lain.

Terdahulu, pada Isnin Mazlan menafikan akan bertanding atas tiket Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor dan akan memutuskan masa depan karier politiknya dalam masa terdekat.

Pada PRU14, Mazlan meraih 37,545 undi bagi memenangi kerusi DUN Puteri Wangsa, menewaskan empat pencabarnya iaitu Abd Aziz Tohak daripada BN, Abdullah Husin (PAS), Lim Yak Hong dan Ting Choon Hai (masing-masing Bebas).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.