Selepas Zii Jia, Jin Wei pula kemuka rayuan kepada BAM

Selepas Zii Jia, Jin Wei pula kemuka rayuan kepada BAM

Pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja Dunia 2018, Goh Jin Wei, menghantar surat rayuan berhubung penggantungan selama dua tahun dikenakan badan induk badminton negara, semalam.

Goh Jin Wei yang mengumumkan persaraan dan keluar daripada BAM pada September tahun lalu sebelum bergerak sebagai profesional digantung daripada beraksi dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 31 Okt 2021. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Bekas juara remaja dunia Goh Jin Wei mengikuti jejak pemain perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia dengan mengemukakan rayuan kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berikutan penggantungan selama dua tahun ke atasnya.

Setiausaha Agung BAM, Kenny Goh berkata, pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja Dunia 2018 itu menghantar surat rayuan berkenaan melalui e-mel semalam.

“Kami baru sahaja menerima surat rayuan daripadanya semalam. Oleh itu kita akan melalui proses yang diperlukan,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Jin Wei, yang mengumumkan persaraan dan keluar daripada BAM pada September tahun lalu sebelum bergerak sebagai profesional, digantung daripada beraksi dalam mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 31 Okt 2021.

Pada Isnin, Zii Jia mengemukakan surat rayuan berhubung penggantungan selama dua tahun oleh BAM berikutan tindakannya meninggalkan badan induk sukan itu.

Semalam, kedua-dua pihak mengadakan pertemuan berhubung rayuan yang dikemukakan dan membawa kepada keputusan yang baik.

Presiden BAM, Mohamad Norza Zakaria, memberi restu kepada Zii Jia untuk menjadi pemain profesional.

“Saya gembira kami dapat selesaikan isu ini dengan BAM selepas mendapat restu Tan Sri (Norza) untuk menjadi pemain profesional,” kata Zii Jia melalui hantaran di Facebook semalam.

Pada Jumaat, Timbalan Presiden BAM Jahaberdeen Mohamed Yunos, mengumumkan bahawa BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Jan.

Keputusan itu dibuat selepas pemain berusia 23 tahun itu meninggalkan BAM untuk menjadi pemain profesional pada 11 Jan dan berkata, dia tidak mampu berdepan tekanan dan “gaya hidup” di BAM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.