
Permohonannya untuk mengenepikan hukuman mati telah didengar oleh Mahkamah Rayuan Singapura yang dianggotai lima hakim pada Isnin.
Bagaimanapun, The Straits Times melaporkan bahawa peguam baharu Nagaentran, Violet Netto, yang mengambil alih kes itu daripada M Ravi, memohon penangguhan.
Peguam Nagaentran di Malaysia, N Surendran, memberitahu FMT terdapat dua perkara yang sepatutnya didengar pada prosiding Isnin lalu.
“Yang pertama ialah rayuan untuk menghalang pelaksanaan hukuman mati atas alasan ia melanggar beberapa peruntukan Perlembagaan Singapura.
“Yang kedua ialah usul supaya keadaan mental Nagaenthran dinilai semula oleh panel pakar psikiatri baharu,” kata Surendran, yang merupakan penasihat kumpulan hak asasi Lawyers for Liberty (LFL).
“Ia telah ditangguhkan dalam tempoh dua minggu persidangan bermula dari 21 Feb dan 4 Mac. Kami mungkin akan mengetahui tarikh tepat seminggu atau dua minggu sebelum perbicaraan.”
Kes Nagaenthran telah menarik perhatian besar-besaran, sebahagian besarnya disebabkan oleh dakwaan peguamnya bahawa Nagaenthran adalah kurang upaya dari segi mental.
Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah adalah antara pemimpin yang menulis surat kepada pihak berkuasa Singapura merayu pengampunan bagi Nagaentran, bagaimanapun pentadbiran republik itu bertegas bahawa anak negeri Perak itu telah diberikan proses yang sewajarnya di bawah undang-undang.
Nagaentran ditahan di Singapura pada 22 April 2009, kerana menyeludup 42.72gm diamorphine dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Singapura pada 22 Nov 2010.
Proses rayuan telah pun sampai ke peringkat akhir pada 1 Jun 2020, apabila pengampunan presidennya ditolak.
Nagaenthran, yang dijadualkan dihukum gantung pada 10 Nov 2021, mendapat penangguhan sementara pada 9 Nov selepas mahkamah diberitahu dia telah diuji positif Covid-19 apabila dia hadir untuk percubaan terakhir terhadap hukumannya.
Dia kemudian diberikan penangguhan pelaksanaan selanjutnya oleh Mahkamah Rayuan sebelum permohonannya untuk mengetepikan hukuman mati ditetapkan pada Isnin (24 Jan).