Paip pecah di Sek 15 Shah Alam, 142 kawasan di Petaling, Klang alami gangguan bekalan air

Paip pecah di Sek 15 Shah Alam, 142 kawasan di Petaling, Klang alami gangguan bekalan air

Air Selangor berkata paip pecah berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga, semalam.

Air Selangor berkata, kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah akan bermula 3 petang ini.
PETALING JAYA:
Sebanyak 142 kawasan di Petaling dan Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan insiden paip pecah di Seksyen 15, Shah Alam.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri berkata, insiden itu berpunca daripada kerja-kerja pembangunan jalan berdekatan Lebuhraya Persekutuan oleh pihak ketiga, semalam.

Katanya, kerja-kerja kecemasan bagi pembaikan paip pecah tersebut akan bermula 3 petang ini.

“Kerja-kerja pembaikan ini dijangka siap sepenuhnya pada jam 3 pagi, Khamis. Bekalan air akan mula disalurkan secara berperingkat kepada premis pengguna setelah kerja pembaikan siap dilaksanakan.

“Tempoh masa pemulihan bekalan air kepada pengguna adalah berbeza bergantung kepada lokasi dan jarak premis,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, bantuan alternatif menggunakan lori tangki akan digerakkan ke kawasan yang terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual.

Antara lokasi terjejas bagi daerah Petaling ialah Bandar Kinrara, Bandar Puchong Jaya, Glenmarie, Hicom Glenmarie, Hyatt Saujana, Jalan Puchong Batu 7 hingga Batu 13, Jalan Subang Airport dan Kampung Bohol.

Sementara di Daerah Klang, antara kawasan terjejas adalah Bandar Putera 2, Bandar Puteri, Jalan Datuk Hamzah, Jalan Istana, Jalan Kota, Jalan Kota Raja, Jalan Padang, Jalan Raja Lumu, Jalan Raya Barat, Jalan Raya Timur, dan Jalan Tengku Kelana serta Kampung Jawa.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.