
Menurut sumber SPRM, lelaki itu dipercayai telah mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu yang dianggarkan bernilai RM24 juta kepada sebuah syarikat perkapalan melalui tiga syarikat.
Menurutnya, lelaki berumur 62 tahun itu ditahan selepas hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, kira-kira 9.30 malam semalam.
Sumber itu berkata, siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Broker itu kini direman selama lima hari sehingga 30 Jan susulan perintah reman dikeluarkan majistret Shah Wira Abdul Halim selepas SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.
SPRM pada Isnin menahan dua ketua pegawai eksekutif syarikat susulan penemuan petunjuk baharu dalam siasatan ke atas kontrak perolehan enam kapal LCS oleh Bousted Naval Shipyard Sdn Bhd (BNS).
Pada 21 Nov lepas, Presiden Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) Mohamad Imran Abd Hamid membuat laporan kepada SPRM berhubung projek pembinaan enam kapal LCS yang gagal diserahkan mengikut jadual.
Projek bernilai RM9.128 bilion itu dianugerahkan kepada BNS oleh kerajaan melalui Kementerian Pertahanan dengan RM6 bilion sudah dibayar bagi tujuan pembinaan keenam-enam kapal tersebut secara serentak.