Beberapa SOP boleh diberi kelonggaran dalam PRN Johor, kata MMA

Beberapa SOP boleh diberi kelonggaran dalam PRN Johor, kata MMA

MMA berkata kelonggaran itu boleh diberikan selepas mengambil kira kadar vaksinasi dan peningkatan dalam pemberian suntikan dos penggalak.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) berkata, ceramah harus dibenarkan di Johor tetapi orang ramai perlu dikawal dan patuh kepada prosedur operasi standard (SOP).
PETALING JAYA:
Beberapa prosedur operasi standard (SOP) boleh diberi kelonggaran pada pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang selepas mengambil kira kadar vaksinasi dan peningkatan pemberian suntikan dos penggalak, kata Persatuan Perubatan Malaysia (MMA).

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata, lebih 80% daripada populasi di negara ini telah lengkap vaksin dan terdapat peningkatan dalam jumlah penerima suntikan dos penggalak.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, lebih 40% populasi dewasa di Johor telah menerima suntikan ketiga.

“Tidak ada masalah untuk mengadakan ceramah sekiranya orang ramai dikawal dengan baik dan patuh kepada SOP,” katanya kepada FMT.

Dr Koh Kar Chai.

Menurutnya, parti yang bertanding perlu memilih lokasi secara berhati-hati, sebaik-baiknya di luar atau dewan dengan pengudaraan yang baik.

Katanya, kunjungan dari rumah ke rumah harus dibenarkan tetapi perlu dihadkan kepada edaran bahan bercetak tanpa perlu masuk ke dalam rumah, sebaik-baiknya tanpa interaksi secara bersemuka.

“Ini kerana sentiasa ada risiko untuk menanggalkan pelitup muka ketika berinteraksi secara rapat,” katanya.

Bagaimanapun, Azrul Mohd Khalib dari Pusat Galen untuk Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, biarpun PRN Melaka dan Sarawak menunjukkan ia boleh diadakan tanpa berlakunya peningkatan kes namun isu yang sepatutnya dibimbangkan ialah kadar kemasukan pesakit ke hospital dan kematian sebagai kesannya.

Katanya, kontak secara fizikal akan berlaku dalam kempen pilihan raya.

“Isunya ialah sama ada orang ramai dan ahli politik akan memahaminya serta bersikap berjaga-jaga. Namun berdasarkan pengalaman sebelum ini, penguatkuasaan tidak akan berfungsi melainkan orang ramai bersikap proaktif,” katanya.

Azrul menjangkakan bahawa SOP akan “diamalkan secara selektif atau diabaikan terus” kerana ahli politik mahu dilihat berjabat tangan, bercakap tanpa mengenakan pelitup muka dan beramah mesra dengan penyokong.

Katanya, beliau akan mengulangi perkara sama seperti ditekankan oleh kebanyakan pakar kesihatan – jaga penjarakan sosial, pakai pelitup muka secara konsisten, guna gel sanitasi tangan dan elakkan tempat sesak dan tertutup.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.