
Menurut Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Polis Serdang A Anbalagan atas nasihat Jabatan Kejuruteraan MBSJ dan bomba.
MBSJ berkata, pihaknya turut mengarahkan pemilik kenderaan di kawasan tersebut mengalihkan kenderaan masing-masing serta-merta.
“Pasukan PANTAS MBSJ bergegas ke lokasi selepas mendapat makluman daripada pihak bomba Selangor. IPD Serdang turut sama membuat kawalan dan pemantauan awalan,” katanya dalam kenyataan.
“Hasil siasatan mendapati runtuhan tebing adalah sepanjang 90m dengan ketinggian 9m melibatkan kawasan tempat letak kereta dan sebahagian jalan.”
Media sebelum ini melaporkan lima kenderaan yang diletakkan di jalan berkenaan rosak selepas berlaku runtuhan tebing akibat mendapan tanah di kawasan itu petang semalam.
Penolong Penguasa II Balai Bomba dan Penyelamat Serdang Saharudin Abdul Razak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira 6.38 petang.