SPR redakan kebimbangan mengenai tempoh bantahan daftar pemilih

SPR redakan kebimbangan mengenai tempoh bantahan daftar pemilih

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azmi Shahrom berkata tempoh bantahan 6 bulan itu bagi membolehkan pengundi menyemak butiran peribadi.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan tempoh bantahan enam bulan bermula 24 Jan hingga 13 Jul berhubung nama pengundi dalam daftar pemilih baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) meredakan kebimbangan mengenai tempoh bantahan selama enam bulan ke atas lebih 5.7 juta pengundi baharu dalam daftar pemilih.

Timbalan Pengerusi SPR Azmi Shahrom berkata, pengundi baharu yang disenaraikan dalam daftar pemilih 14 Jan, terutama mereka yang berumur 18 tahun ke atas, layak untuk mengundi dalam mana-mana pilihan raya semasa.

Tempoh bantahan boleh menjadi halangan terhadap kelayakan mengundi.

Kata Azmi, tempoh enam bulan itu adalah bagi membolehkan pengundi menyemak semula butiran peribadi dan membuat pembetulan atau perubahan dan membenarkan bantahan didengar – “misalnya jika seseorang mendakwa bahawa seorang pengundi berdaftar telah berbohong dan bukan benar-benar tinggal daerah mengundi”.

Sekiranya bantahan itu dikekalkan, pengundi akan ditempatkan di kawasan asal mereka, katanya dalam jawapan menerusi e-mel kepada FMT.

Beliau berkata, tempoh semakan dan bantahan adalah enam bulan berbanding dua bulan sebelum ini disebabkan jumlah pengundi yang terlalu besar. Angka 5.7 juta itu termasuklah pengundi baharu dan mereka yang memohon untuk menukar kawasan masing-masing.

Tangkapan layar memaparkan tempoh bantahan untuk pengundi baharu.

Menurutnya, pada masa akan datang, tempoh semakan dan bantahan hanya sebulan dari tarikh senarai itu diwartakan.

Katanya, mereka yang mencapai usia 18 tahun secara automatik akan dimasukkan ke dalam daftar pemilih pada pertengahan bulan selepas hari lahir mereka.

Sebelum ini, daftar pemilih baharu hanya diwartakan pada setiap suku tahun.

Katanya, terdapat 756,247 pengundi baharu dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor akan datang, dengan 176,618 daripada mereka berusia antara 18 dan 20 tahun.

“Jumlah keseluruhan pengundi di Johor kini adalah seramai 2,599,797 orang. Hanya mereka yang mempunyai nama dalam daftar pemilih yang diwartakan pada tarikh Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan boleh membuang undi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.