PRN Johor: MUDA pencabar baharu Umno?

PRN Johor: MUDA pencabar baharu Umno?

Setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan, berkata kehadiran MUDA dilihat sebagai cabaran tambahan parti itu namun mengalu-alukan penyertaannya.

Ahmad Maslan menjelaskan Umno mempunyai strategi tersendiri dalam usaha menarik kira-kira 750,000 pengundi muda dan baharu pada PRN Johor.
PETALING JAYA:
Umno akui penampilan sulung parti MUDA dalam pilihan raya negeri (PRN) kali ini menambahkan lagi cabaran parti untuk menawan semula Johor selepas tumbang pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Setiausaha Agungnya, Ahmad Maslan, berkata kehadiran MUDA dilihat sebagai cabaran tambahan partinya namun mengalu-alukan penyertaannya selepas parti baharu itu mendapat kelulusan pendaftarannya.

“Ini negara demokrasi, apabila tiba pilihan raya, pasti banyak parti yang nak bertanding. Jadi, tidak ada siapa dapat menghalang mereka daripada berbuat demikian.

“Kita sebagai parti terbesar di Malaysia melihat ini sebagai satu kedinamikan politik yang perlu dihadapi dengan politik matang. Teruskan, kami tidak ada halangan kerana mereka sudah diluluskan.

“Selepas PRU14, Umno sudah terbuka dengan kedinamikan politik yang pelbagai. Kita anggap MUDA sebagai satu cabaran tambahan kepada strategi kita untuk menghadapi PRN,” katanya menurut laporan Kosmo.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, Umno mempunyai strategi tersendiri dalam usaha menarik kira-kira 750,000 pengundi muda dan baharu pada PRN Johor.

Beliau berkata, antaranya menerusi program dilakukan sayap parti pemuda dan puteri sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tambahnya, Umno juga akan menggunakan media sosial untuk mendekati golongan muda seperti dilakukan semasa PRN Melaka susulan kekangan tidak dapat berkempen mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Umno juga akan menampilkan calon muda yang akan bergandingan dengan calon berpengalaman dan wanita bagi menarik sokongan golongan berkenaan.

“Kita juga harapkan golongan ibu bapa yang merupakan ahli Umno akan mempengaruhi anak-anak mereka untuk mengundi Umno,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.