Presiden BAM beri lampu hijau Zii Jia jadi pemain profesional

Presiden BAM beri lampu hijau Zii Jia jadi pemain profesional

Ini selepas pemuda berusia 23 tahun itu menyatakan Mohamad Norza Zakaria 'merestui' hasratnya menjadi pemain profesional, selepas perjumpaan dari hati ke hati antara mereka.

Lee Zii Jia akan kembali beraksi dengan menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia 2022 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Selangor dari 15 hingga 20 Feb ini. (Gambar AP)
KUALA LUMPUR:
Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Mohamad Norza Zakaria memberi lampu hijau kepada pemain perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia untuk beraksi sebagai pemain profesional.

“Confirmed (Sah),” kata Norza dalam maklum balas ringkasnya kepada Bernama ketika dihubungi untuk mendapatkan penjelasan mengenai hantaran Zii Jia dalam Facebooknya hari ini.

Ini setelah Zii Jia menyatakan Norza “merestui” hasratnya untuk menjadi pemain profesional, selepas perjumpaan dari hati ke hati antara Norza dengan atlet itu bersama ibu bapanya.

“Saya gembira kami sudah menyelesaikan isu ini dengan BAM selepas menerima ‘restu’ Tan Sri untuk saya menjadi pemain profesional.

“Pencapaian saya di masa lalu dan akan datang akan sentiasa merupakan hasil usaha Tan Sri Norza, BAM dan Malaysia. Saya sentiasa berterima kasih dengan bimbingan dan jagaan Tan Sri dan memberikan saya peluang untuk berkhidmat kepada negara yang saya cintai,” kata Zii Jia.

Oleh itu, pemain nombor tujuh dunia itu berkata, beliau akan kembali beraksi dengan menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 yang dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Selangor dari 15 hingga 20 Feb ini.

Pada masa sama, anak kelahiran Kedah itu menggesa semua orang terus menyokong BAM dan pemain profesional negara yang bakat mereka juga digilap BAM.

Sementara itu, Zii Jia dalam sidang media hari ini enggan mengulas laporan berita beliau menolak tawaran RM1 juta yang ditawarkan BAM dalam usaha untuk mengekalkan beliau dalam kemnya.

Timbalan Presiden BAM, Jahaberdeen Mohamed Yunos berkata kedua-dua pihak berpuas hati dengan hasil mesyuarat yang diadakan bagi membincangkan rayuan pemain itu terhadap keputusan BAM menggantung beliau daripada menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa kerana meletak jawatan dalam BAM.

Jumaat lalu, Jahaberdeen mengumumkan BAM tidak akan mendaftarkan Zii Jia untuk mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuat kuasa 18 Jan lalu.

Ini berikutan keputusan pemain berusia 23 tahun itu menyerahkan surat peletakan jawatan daripada mewakili BAM pada 11 Jan untuk menjadi pemain profesional atas alasan beliau tidak tahan tekanan, gaya hidup dan disiplin ketat dalam Akademi Badminton Malaysia (ABM).

Bagaimanapun, BAM mengesahkan semalam bahawa Zii Jia telah menghantar surat rayuan terhadap keputusan badan sukan itu dan berjanji mencari penyelesaian terbaik dengan segera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.