
Ismail tiba di pekarangan Saujana yang merupakan kediaman rasmi Menteri Besar Johor Hasni Mohammad, di Jalan Hassan Al-Attas, di sini, pada pukul 8.42 malam.
Turut hadir pada perjumpaan yang diadakan secara tertutup itu, Timbalan Presiden Mohamad Hasan, Setiausaha Agung Ahmad Maslan dan Hasni, yang juga Ketua Umno Johor serta barisan kepimpinan Umno negeri.
Tinjauan Bernama mendapati perkarangan kediaman rasmi Menteri Besar mula menjadi tumpuan seawal pukul 7.30 malam.
Semalam, Mohamad dilaporkan berkata, Umno menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.
Susulan pembubaran DUN pada Sabtu lalu, Barisan Nasional (BN) Johor telah menyatakan hasrat bertanding tanpa kerjasama parti lain di luar gabungan itu dan yakin menang dua pertiga daripada 56 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN itu nanti.
Kerajaan negeri sebelum ini diterajui Barisan Nasional dengan 28 kerusi merangkumi Umno (14 kerusi); MIC (dua); Bersatu (11); dan PAS (satu), manakala Pakatan Harapan dengan 27 kerusi iaitu DAP (14); PKR (tujuh) dan Amanah (enam).