
Ini kerana dakwanya, TI belum mengambil kira kontroversi pemilikan saham tersenarai awam oleh Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Azam Baki.
Lim dalam kenyataan berkata, Kabinet perlu mengadakan perbincangan khas mengenai kedudukan negara dalam CPI 2021 yang jatuh ke tangga 62 daripada 180 negara, terendah sejak metodologi indeks itu disemak semula pada 2012.
“Kini, kita kembali terjerumus ke kancah rasuah seperti sebelum pilihan raya umum ke-14 pada 9 Mei 2018 dan perkara buruk bakal berlaku akibat daripada skandal Azam dan kemerosotan sistem integriti dalam kehidupan awam.
“Adakah mana-mana pihak yang akan dipertanggungjawabkan susulan prestasi mengejutkan Malaysia dalam CPI 2021.
“Di negara lain, Ketua Pesuruhjaya SPRM akan meletak jawatannya selepas laporan CPI 2021 yang begitu teruk dikeluarkan tetapi perkara seumpama ini tidak berlaku di Malaysia.”
Lim berkata, kerja keras Pakatan Harapan (PH) dalam menangani rasuah yang berjaya meningkatkan kedudukan CPI Malaysia ke tangga 51 pada 2019 dimusnahkan selepas tersingkir dari Putrajaya pada 2020.
Sementara itu, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyifatkan kemerosotan dalam ranking CPI 2021 memalukan kerana negara berada di kedudukan sama, iaitu tangga 62 pada 2017.
Dalam catatan Twitternya, beliau tertanya-tanya Malaysia akan berada di tangga ke berapa CPI 2022.
Sementara itu Faiz Fadzil daripada Amanah berkata, kemerosotan dalam kedudukan CPI 2021 menunjukkan slogan “kerajaan Melayu-Islam” hanya “candu politik” sedangkan prinsip Islam mencegah rasuah tidak ditegakkan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata, penurunan itu akan menjejaskan ekonomi negara sehingga menyebabkan ia gagal pulih sepenuhnya dan menghakis keyakinan pelabur selagi kerajaan tiada kesungguhan politik untuk memerangi rasuah.
“Selama itulah rakyat akan terus sengsara dengan pelbagai tekanan seperti kenaikan harga barang dan defisit kuasa membeli,” katanya dalam kenyataan.