
Ketua Polis Daerah Sentul Beh Eng Lai berkata, suspek warga tempatan berusia 23 tahun itu ditangkap pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi dan polis turut merampas semula kereta yang dilarikan, selain sebilah pisau yang dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa.
“Pada 24 Jan lalu, jam 2.08 petang, pihak polis menerima laporan berhubung kes samun di tepi Jalan Sentul Pasar, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan.
Hasil siasatan mendapati mangsa seorang pemandu e-panggilan berusia 47 tahun ditikam di bahagian leher selepas mengambil suspek di Putrajaya.
“Suspek sebelum itu, meminta akaun milik mangsa kerana mahu membuat pembayaran tambang secara atas talian dan ketika mangsa sedang mencari nombor akaun miliknya, suspek menikam mangsa lalu bertindak menarik mangsa keluar daripada kereta dan melarikan kereta milik mangsa jenis Proton Saga berwarna kelabu,” katanya.
Katanya, suspek turut melarikan beberapa barangan peribadi milik mangsa yang tertinggal di dalam kereta berkenaan.
“Mangsa dibantu oleh orang awam yang kebetulan melalui jalan tersebut dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan,” katanya.
Ketika mengulas lanjut, Bah berkata, suspek yang ditangkap tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara hingga 20 tahun dan dikenakan sebatan,” katanya.