Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia turun ke tangga 62

Indeks Persepsi Rasuah: Malaysia turun ke tangga 62

Malaysia menduduki tempat ke-62 daripada 180 negara dalam laporan terbaharu itu.

Dari segi skor, Malaysia turun kepada 48 daripada 100 markah berbanding 51 markah pada 2020.
PETALING JAYA:
Kedudukan Malaysia turun lima anak tangga dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 dikeluarkan Transparency International (TI) yang menyaksikan perbezaan ketara selepas pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Malaysia menduduki tangga ke-62 daripada 180 negara dalam laporan terbaharu itu – iaitu terendah sejak kaedah penilaian disemak pada 2012. Pada 2020, Malaysia berada di kedudukan 57, menurun sedikit daripada 51 pada 2019.

Dari segi skor, Malaysia juga turun kepada 48 daripada 100 markah berbanding 51 markah pada 2020.

TI Malaysia (TI-M) dalam kenyataannya berkata, markah dan kedudukan CPI Malaysia jatuh sejak dua tahun berturut-turut dan jelas menunjukkan bahawa negara tidak langsung mencapai kemajuan diharapkan, bahkan menuju ke arah kemerosotan dari segi membanteras rasuah, sokongan hak asasi manusia dan demokrasi.

Katanya, antara punca yang menyumbang kepada kemungkinan kemerosotan ini membabitkan tindakan sangat terhad kerajaan sedia ada dan sebelum ini dalam membendung aktiviti rasuah politik dan mengukuhkan hak asasi manusia di negara ini.

“Sebagai contoh, Akta Pembiayaan Politik yang dijadualkan dibentang di Parlimen oleh dua kerajaan sebelum ini belum terlaksana,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, kerajaan juga kurang berminat memperbaharui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menjadi institusi antirasuah yang benar-benar bebas dan diletakkan di bawah tanggungjawab Parlimen seperti dicadangkan masyarakat sivil pada 2015.

Katanya, keputusan “melepas tanpa membebaskan” sesetengah individu yang didakwa dalam kes berprofil tinggi memberikan persepsi negatif berhubung perjalanan proses undang-undang di Malaysia.

“Penjelasan yang lebih jelas daripada Jabatan Peguam Negara adalah penting dalam mengurangkan persepsi sedemikian,” katanya.

TI-M berkata, antara faktor penyumbang lain membabitkan penggantungan Parlimen dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dengan pakej rangsangan ekonomi yang besar jumlahnya diteruskan tanpa perbahasan dan penelitian di Dewan Rakyat.

Katanya, laporan negatif berterusan mengenai salah laku dan tadbir urus lemah oleh pegawai kerajaan dalam laporan Ketua Audit Negara yang kelihatan berulang-ulang dan tidak diambil tindakan tatatertib.

“Sudah tiba masanya penggubal undang-undang dari kedua-dua pecahan parti politik menyokong tambahan dalam peruntukan Akta SPRM bagi ‘salah laku penjawat awam’ untuk memastikan pegawai kerajaan bertanggungjawab atas tindakan dan keputusan mereka,” katanya.

TI-M berkata, situasi yang dihadapi kini amat membimbangkan dan perubahan menuju kedudukan lebih baik adalah sukar melainkan kerajaan mengambil tindakan tegas dan lantang untuk mempercepatkan pembaharuan institusi.

Tahun ini, Denmark, Finland dan New Zealand menduduki tangga teratas indeks dengan skor 88 markah, manakala Venezuela, Syria, Somalia, Sudan Selatan dan Somalia di tangga terbawah, dengan markah masing-masing sebanyak 14, 13, 13 dan 11.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.