
KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kementerian telah memohon penangguhan pengosongan bangunan dan tapak sekolah sehingga tamat sesi persekolahan penggal ketiga pada Mac, mengambil kira sesi persekolahan yang sedang berjalan.
“Memandangkan bangunan dan tapak sekolah adalah milik Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd, justeru KPM telah membuat ketetapan untuk menyuraikan murid dan guru ke sekolah lain yang berhampiran.
“Ketetapan ini diambil susulan trend enrolmen murid yang menurun dari setahun ke setahun dan terdapat sekolah berdekatan yang dapat menampung murid dari SK Assumption dalam jarak antara 0.35km hingga 5.8km,” kata KPM.
KPM berkata, pada masa ini, sekolah tersebut beroperasi dengan enrolmen murid seramai 53 orang dan penyuraian ini dapat meningkatkan kecekapan penggunaan sumber melalui agihan semula 15 orang guru dan dua orang anggota kumpulan pelaksana (AKP) ke sekolah lain.
Kata KPM lagi, pihaknya akan membantu memudah cara urusan kemasukan murid ke sekolah baharu pilihan ibu bapa bagi kalendar akademik sesi 2022/2023.
Sekolah Kebangsaan Assumption merupakan sekolah bantuan kerajaan yang beroperasi di bangunan dan tapak sekolah yang dimiliki oleh Syarikat Sri Avenue Sdn Bhd sejak 2008.
Pada 3 Nov 2021, syarikat tersebut memaklumkan bahawa mereka telah menerima tawaran pembelian bangunan dan tapak sekolah daripada pihak ketiga.