PRN Johor: Tak sehaluan dengan Muhyiddin, Mazlan Bujang tidak akan wakili Bersatu

PRN Johor: Tak sehaluan dengan Muhyiddin, Mazlan Bujang tidak akan wakili Bersatu

Penyandang DUN Puteri Wangsa berkata beliau tidak mungkin terus bersama parti pimpinan Muhyiddin Yassin kerana perbezaan prinsip.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri Puteri Wangsa, Mazlan Bujang berkata, beliau akan mengumumkan hala tuju politiknya dalam tempoh sehari dua lagi. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang, menegaskan tidak lagi berhasrat untuk mewakili Bersatu pada pilihan raya negeri (PRN) Johor kerana tidak sehaluan dengan Presidennya, Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun Ketua Bahagian Bersatu Tebrau itu mengakui beliau masih ahli parti berkenaan, setakat ini.

“Saya tidak mungkin bertanding atas tiket Bersatu pada PRN Johor nanti,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Mazlan yang juga bekas Ketua Bersatu Johor berkata, beliau akan memutuskan masa depan politiknya bersama parti itu dalam masa terdekat.

“Tunggulah sehari dua lagi saya akan buat keputusan muktamad, namun yang pasti saya tidak akan bertanding PRN Johor atas tiket Bersatu.

“Ini kerana saya tidak sehaluan lagi dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan tidak nampak ada masa depan, jika terus bersama parti itu.

“Bersatu bukan milik Muhyiddin kerana pemimpin boleh bersilih ganti, namun saya tidak mungkin akan terus bersama parti itu yang dipimpin beliau kerana prinsip kami tidak sama,” katanya.

Pada 20 Jan lalu, Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, dilaporkan sedia menimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN Johor diadakan.

Mazlan, sebelum ini dilaporkan menafikan akan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN.

Ditanya sama ada beliau sudah tidak lagi mahu bersama Bersatu, Mazlan mengakui perkara itu.

“Ya, saya tidak mahu bersama Bersatu yang dipimpin bekas Perdana Menteri itu,” katanya.

Mengulas sama ada beliau mendapat tawaran daripada parti lain, Mazlan bagaimanapun menolak dakwaan itu.

“Setakat ini, tiada parti yang menawarkan apa-apa kepada saya, cuma akan datang saya tidak pasti. Tunggulah sehari dua nanti saya putuskan haluan politik saya,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.