
Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata, peguam bekas Perdana Menteri itu, Muhammad Shafee Abdullah, menyatakan perkara berkenaan semasa pengurusan kes hari ini.
“Beliau (Shafee) akan menulis surat kepada Mahkamah Persekutuan esok mengenai hasrat mereka untuk memohon QC menghadiri dan menghujahkan rayuan itu,” kata Ashrof selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Siti Hajar Mustaffa.
QC, yang dianggap pakar dalam bidang undang-undang tertentu, hanya boleh hadir di mahkamah negara ini secara ad hoc selepas dibenarkan masuk.
Badan Peguam dan Jabatan Peguam Negara boleh menyokong atau membantah jika Najib membuat permohonan sedemikian.
Najib, 68, adalah bekas Perdana Menteri pertama di negara ini yang didakwa di mahkamah dan didapati bersalah.
Ashrof, yang hadir bersama pendakwa ad hoc V Sithambaram dalam pengurusan kes itu berkata, tiada tarikh ditetapkan untuk mendengar rayuan berkenaan berikutan cadangan untuk membawa masuk peguam asing itu.
“Satu lagi pengurusan kes akan diadakan pada Jumaat bagi menentukan langkah seterusnya untuk rayuan utama itu,” katanya.
Bagaimanapun beliau berkata, Siti Hajar menetapkan 15 dan 16 Mac sebagai tarikh pendengaran rayuan Najib untuk mengemukakan bukti tambahan dalam rayuan kes SRC.
Pada 7 Dis tahun lepas, Mahkamah Rayuan menolak permohonan Najib untuk memasukkan keterangan baharu dengan menyatakan bahawa beliau tidak memenuhi empat elemen ketat yang diperlukan bawah undang-undang.
Ia adalah keterangan yang tidak disediakan pada perbicaraan, perkaitan dan kredibiliti.
Keempat ialah keterangan itu akan menimbulkan keraguan munasabah dalam fikiran hakim bicara, jika ia dikemukakan bersama dengan yang lain semasa perbicaraan.
Keesokannya, mahkamah sama mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyelewengkan RM42 juta dana SRC itu.
Hakim Abdul Karim Abdul Jalil, yang mengetuai panel tiga hakim terdiri daripada Has Zanah Mehat dan Vazeer Alam Mydin Meera, menolak rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.
Karim berkata, hakim perbicaraan Mohd Nazlan Mohd Ghazali tidak terkhilaf sehingga memerlukan campur tangan Mahkamah Rayuan.