Hadir majlis DAP, MB Perak berpolitik matang, kata Aziz Bari

Hadir majlis DAP, MB Perak berpolitik matang, kata Aziz Bari

Ketua Pembangkang Perak Abdul Aziz Bari, memuji tindakan Saarani Mohamad, kerana mengambil pendekatan politik matang.

Menteri Besar Perak Saarani Mohamad (tiga dari kiri) bersama pimpinan DAP dalam satu majlis di Taiping.
PETALING JAYA:
Tindakan Menteri Besar Perak Saarani Mohamad menghadiri majlis dianjurkan ahli DAP, Nga Kor Ming, dipuji oleh Ketua Pembangkang negeri berkenaan, Abdul Aziz Bari.

Dalam kenyataannya, Aziz berkata, ia memperlihatkan ketegasan Saarani mengambil pendekatan politik matang, khususnya menghadiri program anjuran pihak pembangkang di negeri itu.

“Sesungguhnya ketegasan itu adalah sesuatu yang baharu, bukan sahaja di Perak, malah di seluruh negara.

“Politik baharu dan politik matang amat perlu bagi mengurangkan pergeseran dan perselisihan yang tidak perlu dan melampau. Kebajikan rakyat harus diberikan keutamaan,” kata kenyataan itu.

Beliau berkata, pendekatan dipelopori Saarani itu tidak bertentangan dengan kedudukan dan peranan kerajaan dan pembangkang, khususnya dalam konteks demokrasi Westminster.

Aziz berkata demikian sebagai maklum balas terhadap kenyataan Ketua Pemuda MCA Perak Daniel Wa yang mempersoalkan keputusan Saarani berkongsi pentas bersama Nga.

Wa berkata, kehadiran Menteri Besar dalam majlis terbabit menunjukkan sikapnya yang tidak mengambil kira perasaan MCA dan MIC.

Semalam, Saarani berkata, beliau hadir dalam majlis berkenaan selepas mendapat jemputan daripada Nga atas kapasiti ahli DAP itu sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Aulong.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.