
Naib Presiden MUDA Dr Thanussha Francis Xavier, antara 12 individu disoal siasat hari ini, berkata polis mengenalpasti lebih 50 penunjuk perasaan mengambil bahagian dalam himpunan terbabit dan akan memanggil mereka selepas ini.
Antara yang disoal siasat hari ini, adalah Ketua Pemuda Amanah Mohd Hasbie Muda, Timbalannya, Zubair Rahim, Pengarah Strategi Asmaaliff Abdul Adam, dan ahli jawatankuasa Abbas Azmi.
Individu lain membabitkan Ketua Pemuda DAP Howard Lee, Setiausaha Pemuda PKR Ahmad Syukri Abd Razab, ahli PKR dan aktivis Adam Adli Abdul Halim, Pengerusi Jalinan Nusantara Malaysia Mohd Azam Mektar, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Abu Hafiz Salleh Hudin, peguam Bakri Omar dan aktivis media sosial Amira Aisha.
Thanussha memberitahu FMT, berkata kenyataan daripada 12 mereka diambil berhubung pembabitan dalam ceramah, termasuk dalam protes. Bagaimanapun, petang tadi, Ketua Polis Daerah Brickfields Amihizam Abdul Shukor, berkata hari ini seramai 19 aktivis dirakamkan keterangan mereka.
Dalam ceramah pada Jumaat, dikenali sebagai Pentas Anak Muda, dianjurkan untuk menggesa pembabitan orang awam dalam himpunan di stesen LRT Bangsar, pada Sabtu. Himpunan itu dianjurkan bagi mendesak penangkapan Ketua Pesuruhjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Azam Baki, yang terbabit dalam kontroversi pemilikan sahamnya.
Thanussha mendakwa pihak berkausa mengamalkan sikap pilih kasih dalam siasatan berkenaan.
“Tindakan sepenuhnya dilakukan bila membabitkan siasatan terhadap aktivis dan penunjuk perasaan, namun bukan terhadap Azam,” katanya.
“Kami akan tetap melawan bagi memastikan Azam disiasat seadilnya walaupun polis menggunakan taktik ugutan,” katanya.
Himpunan pada Sabtu, menarik penyertaan 35 persatuan dan badan politik seperti PKR, DAP, Amanah, Pejuang, MUDA dan Warisan.