PRN Johor: Calon Umno mesti berciri ‘WALI’, kata Ahmad Maslan

PRN Johor: Calon Umno mesti berciri ‘WALI’, kata Ahmad Maslan

Setiausaha Agung Umno berkata ciri WALI ialah 'winnable' (boleh menang), 'acceptable' (boleh diterima) dan 'likeable' (disenangi).

Ahmad Maslan menjelaskan calon Umno dan Barisan Nasional mempunyai kombinasi berpengalaman serta muka baharu dalam kalangan orang muda.
PETALING JAYA:
Umno mahu mengetengahkan calon pilihan raya negeri (PRN) Johor bercirikan “WALI” seperti ditetapkan Presidennya Ahmad Zahid Hamidi ketika PRN Melaka tahun lalu.

Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan, berkata ciri WALI ialah “winnable” (boleh menang), “acceptable” (boleh diterima) dan “likeable” (disenangi).

“Itu antara kriteria yg disebut presiden sebelum ini dan ia akan terus diguna pakai pada PRN Johor,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan Program Retreat dan Gerak Gempur Jentera Kimma di Bangunan Umno Johor di Johor Bahru, hari ini.

Oktober lalu, Zahid dilaporkan menggariskan calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada PRN Melaka perlu mempunyai ciri WALI.

Beliau dilaporkan berkata, calon itu juga perlu memiliki sifat wali Allah iaitu mempunyai ilmu yang boleh diterima semua agama, kaum dan keturunan bagi rakyat Melaka.

Mengenai permintaan akar umbi Umno terutama sayap Pemuda yang mahukan lebih banyak calon muda ditampilkan pada PRN Johor, Ahmad menegaskan ia masih belum diputuskan.

“Belum ada lagi keputusan akhir mengenai calon kerana ia akan diputuskan pimpinan tertinggi parti bersama pimpinan negeri.

“Namun seperti PRN Melaka, calon dikemukakan Umno dan BN mempunyai kombinasi mereka yang berpengalaman serta muka baharu dalam kalangan orang muda.

“Tentunya akan ada kombinasi sama seperti di PRN Melaka,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.