
Semalam, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menandatangani notis pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas memperkenan Menteri Besar Hasni Mohammad menghadap, membuka laluan bagi PRN diadakan sebelum 23 Mac.
Azmi Hassan, felo kanan di Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara, berkata beliau menjangkakan kemenangan besar bagi Umno bukan sahaja disebabkan kekuatan parti itu, tetapi juga kelemahan pesaingnya seperti Bersatu, PKR, DAP dan PAS.
“Parti yang paling teruk akan kalah di Johor adalah Bersatu,” katanya kepada FMT.

“Ia berdepan cabaran sukar jika menentang Umno, satu kemungkinan besar.
“Pengerusinya (Muhyiddin Yassin) mungkin berasal dari Johor, tetapi parti itu tidak sinonim dengan negeri itu seperti Umno.”
Azmi berkata, keputusan PRN ini boleh memberi kesan besar kepada strategi Bersatu menuju pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Ia akan menentukan masa depan mereka. Adakah mereka akan bertanding pada PRU15 sendirian, kekal dalam Perikatan Nasional (PN) bersama PAS, atau akan membubarkan gabungan itu dan bergabung tenaga dengan Umno?”
Oi Ei Sun, daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, bersetuju Umno akan bertanding pada PRN itu sebagai calon pilihan, dengan berkata ia “berkemungkinan besar” memperoleh majoriti yang lebih kukuh berbanding majoriti satu kerusi yang dipegang kerajaan negeri sebelum pembubaran DUN.
Parti utama lain dijangkakan berdepan isu yang akan menyekat prospek mereka, katanya.

“Bersatu akan terpaksa mendapatkan sebahagian besar sokongan pengundinya menerusi PAS, kerana walaupun Muhyiddin berasal dari Johor, kebanyakan penyokong Melayunya di peringkat akar umbi kekal bersama Umno.
“Sokongan kuat daripada golongan bukan Melayu yang dinikmati parti itu pada 2018 sudah tiada. Sukar baginya untuk meniru keputusan yang menggerunkan itu.
“Bagi Pakatan Harapan (PH), selepas menandatangani MoU (dengan kerajaan persekutuan), gabungan itu berdepan defisit kepercayaan dalam kalangan penyokong.
“Ramai daripada mereka mungkin akan memilih untuk tidak keluar mengundi, seperti yang terjadi pada PRN Melaka dan Sarawak,” katanya.