NGO mahu hantar referendum minta Agong campur tangan kes babit Zeti, suami

NGO mahu hantar referendum minta Agong campur tangan kes babit Zeti, suami

Pihak PSUAM mendakwa telah mengumpul hampir 9,000 tandatangan dalam referendum untuk diserahkan kepada Agong.

Pihak PSUAM telah mengumpul hampir 9,000 tandatangan dalam referendum untuk diserahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, menurut Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz.
KUALA LUMPUR:
Sebuah NGO akan menghantar referendum kepada Yang di-Pertuan Agong untuk meminta baginda campur tangan mengarahkan pihak berkuasa segera menyiasat bekas Gabenor Bank Negara (BNM) Zeti Akhtar Aziz dan suaminya, Tawfiq Ayman berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB.

Presiden Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) Syed Muhammad Imran Syed Abdul Aziz mendakwa, pihaknya telah mengumpul hampir 9,000 tandatangan dalam referendum untuk diserahkan kepada Agong.

“Tujuan utama referendum kepada Agong, kita minta Zeti dihadapkan ke mahkamah secepat mungkin. Kita sudah tak tahu platform mana lagi boleh digunakan untuk pastikan bekas Gabenor BNM dan suaminya diambil tindakan,” katanya kepada media selepas himpunan Hentikan Penganiayaan terhadap Najib Razak di PWTC pagi ini.

“Kita tahu sebelum ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, polis dan pihak berkuasa sedang menyiasat mengenai dana 1MDB yang diambil balik dari Singapura disimpan syarikat milik suami Zeti pada 2019, tapi kita tengok kes itu macam tiada perkembangan, jadi kita minta teruskan siasatan segera.”

Katanya, jika Zeti dan suaminya didakwa, beliau yakin Najib akan memperoleh kemenangan dalam kes 1MDB, memandangkan Tawfiq adalah saksi pendakwaan.

Pendakwaan terhadap bekas Perdana Menteri membabitkan dana 1MDB itu, katanya, adalah penganiayaan yang dirancang pihak tertentu untuk menjatuhkannya.

Tambahnya, mereka mahu Najib kembali menjadi Perdana Menteri.

“Kalau Barisan Nasional (BN) nak menang pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kena letak muka Najib sebagai calon Perdana Menteri,” katanya.

Semalam, media melaporkan siasatan ke atas Tawfiq berhubung dakwaan menerima dana berkaitan 1MDB dipercayai sudah lengkap dengan cadangan tuduhan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Siasatan dimulakan polis itu lebih menumpukan kepada penerimaan wang ke dalam akaun milik Tawfiq di Singapura yang diperoleh hasil terbitan RM5 bilion oleh AmBank pada 2009, menurut laporan Utusan Malaysia yang memetik sumber.

Satu siasatan lain turut dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah laku membabitkan Zeti dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Nor Mohamed Yakcop.

Mahu Azam baki kekal

Dalam perkembangan lain, Syed Muhammad Imran mahu Azam Baki, yang kini terpalit dengan kontroversi mengenai pemilikan sahamnya dalam syarikat senaraian awam melebihi jumlah ambang yang dibenarkan bagi penjawat awam, dikekalkan Ketua Pesuruhjaya SPRM.

Katanya, langkah itu bagi membolehkan kes rasuah membabitkan Lim Guan Eng, berhubung pembelian sebuah lot tanah dan banglo, yang digugurkan sebelum ini dibuka semula.

“Saya bersama NGO lain menyokong Azam dikekalkan sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM atas sebab beliau pegang fail siasatan kes Lim Guan Eng yang digugurkan ketika zaman Pakatan Harapan (PH).

“Kami mohon Agong juga kekalkan Azam kerana beliau dapat membongkar bongkar segala masalah yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Beliau juga menuduh ada pihak sengaja menekan Azam supaya berundur kerana tidak mahu kes terhadap Lim diteruskan.

“Disebabkan Azam saksi penting kes Lim, mereka mencari salah Azam,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.