Dr M masih di IJN, keluarga pinta jangan dengar khabar angin

Dr M masih di IJN, keluarga pinta jangan dengar khabar angin

Segala makluman perkembangan semasa kedaaan kesihatan Ahli Parlimen Langkawi itu akan dikeluarkan pihak IJN dan keluarga.

Marina berharap orang ramai tidak mengendahkan khabar angin disebarkan oleh sumber tidak sahih mengenai kesihatan bapanya, Dr Mahathir Mohamad.
PETALING JAYA:
Orang ramai diminta tidak melayan berita mengenai kesihatan bekas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini dirawat di Unit Penjagaan Koronari (CCU) Institut Jantung Negara (IJN) daripada sumber tidak sahih.

Anak sulungnya, Marina berkata segala makluman perkembangan semasa keadaan kesihatan Ahli Parlimen Langkawi itu akan dikeluarkan pihak IJN dan keluarga.

“Kami juga berharap agar orang ramai tidak mengendahkan khabar angin yang disebarkan oleh sumber-sumber yang tidak sahih,” katanya dalam kenyataan.

Marina berkata, sehingga kini bapanya masih dirawat di IJN dan pihak keluarga juga telah mula berinteraksi dengan Mahathir.

“Bagi pihak Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, di dalam dan luar negara, yang telah menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan Yasin dan juga orang ramai dari pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Dr Mahathir cepat sembuh,” katanya.

Ini adalah kemasukan ketiga Mahathir ke IJN sejak Disember.

Beliau sebelum ini dibenarkan keluar dari IJN pada 13 Jan selepas dimasukkan ke pusat perubatan itu pada 7 Jan.

Bekas Perdana Menteri itu menjalani prosedur perubatan elektif dikendalikan sepasukan doktor dari institut berkenaan dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pada 8 Jan.

Mahathir pernah menjalani dua pembedahan pintasan jantung pada 1989 dan 2007.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.