Asrama maahad tahfiz terbakar, 15 pelajar terselamat

Asrama maahad tahfiz terbakar, 15 pelajar terselamat

Semua mereka terselamat kerana menyertai aktiviti di luar sebelum menyedari asap tebal di atas sebelah kiri asrama.

Anggota bomba memadam kebakaran asrama pelajar Maahad Tahfiz Assyatirie Dulang Besar, Yan, Kedah. (Gambar Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia)
PETALING JAYA:
Seramai 15 pelajar terselamat selepas asrama pondok Maahad Assyatirie dua tingkat terbakar dalam kejadian di Dulang Besar, Yan, Kedah.

Kejadian dipercayai berlaku kira-kira 6.25 petang, dan semua mereka terselamat kerana menyertai aktiviti di luar sebelum menyedari asap tebal di atas sebelah kiri asrama pelajar berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan, Fauzi Shuaib, berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 6.32 petang.

Berikutan itu, katanya, sepasukan anggotanya dari BBP Yan yang turut dibantu pasukan BBP Guar Chempedak serta dua Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dari Padang Lembu dan Guar Chempedak digegaskan ke lokasi.

“Setiba di lokasi, api didapati sedang marak di tingkat atas pondok dan operasi pemadaman dilakukan untuk mengelak api terus merebak.

“Api dapat dikawal pada jam 6.49 petang sebelum dipadam sepenuhnya jam 8.24 malam,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Beliau berkata, kebakaran di tingkat atas pondok itu membabitkan kemusnahan 80%, bagaimanapun tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan, dan punca kejadian masih lagi dalam siasatan.

Sementara itu, seorang saksi, Mohammad Aliff Haikal Mohd Sofi, 28, berkata dia menghubungi bomba sejurus ternampak asap tebal bersebelahan rumahnya.

Katanya, api ketika itu semakin marak menyebabkan bahagian atas bangunan musnah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.