
Laungan “Hidup Rakyat! Tangkap Azam Baki!” bergema di stesen LRT Bangsar yang dilaungkan beberapa penunjuk perasaan himpunan #TangkapAzamBaki.
Beberapa penunjuk perasaan dilihat membawa sepanduk bertulis “lawan” dan “lawan korupsi”.
Sementara itu, pihak polis mengingatkan peserta himpunan supaya menjaga jarak sosial.
Wakil program Pusat Kewartawanan Bebas (CIJ), memberitahu FMT bahawa terdapat laporan penunjuk perasaan “diganggu” selepas turun dari stesen LRT Bangsar, dengan polis memberi amaran kepada mereka untuk ditangkap jika sertai himpunan.
Mereka bagaimanapun tetap berkumpul walaupun diberi amaran oleh pihak polis.
Pihak polis turut mengawal ketat laluan ke stesen LRT Bangsar sejak jam 7 pagi tadi.
Lima jalan sekitar Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields dilencongkan bermula 7 pagi tadi sebagai persediaan bagi protes jalanan itu.
Jalan-jalan yang terbabit adalah Jalan Bangsar, susur Jalan Bangsar Utama, Jalan Travers menuju ke Jalan Bangsar, Jalan Rakyat menuju ke Jalan Bangsar, dan Jalan Maarof menuju ke Jalan Bangsar.
Himpunan #TangkapAzamBaki pada asalnya dirancang diadakan di tiga lokasi, iaitu Sogo, Dataran Merdeka dan Masjid Jamek pada 11 pagi hari ini, namun susulan penutupan enam laluan ke ibu kota, Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki menukar lokasi himpunan ke bawah jambatan LRT Bangsar, Jalan Bangsar.
Himpunan itu,yang disokong 33 NGO dan 11 buah organisasi politik akan dijalankan secara aman dengan menepati SOP bagi meminimumkan penyebaran Covid-19 serta keselamatan rakyat Malaysia keseluruhannya, kata jawatankuasa tersebut.
Menurut polis, perhimpunan itu tidak dapat dibenarkan kerana Kuala Lumpur masih di bawah Fasa 4 Pelan Pemulihan Nasional, yang melibatkan beberapa protokol Covid-19.