Ismail mungkin tidak lama jadi PM, kata penganalisis

Ismail mungkin tidak lama jadi PM, kata penganalisis

Penganalisis meramalkan Naib Presiden Umno itu hanya akan menyandang jawatan PM sehingga PRU akan datang kerana tidak mendapat sokongan akar umbi.

Ismail Sabri Yaakob, walaupun sebagai Perdana Menteri, tidak berjaya meraih tahap sokongan akar umbi lebih daripada yang dinikmati Najib Razak atau Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, kata penganalisis. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Penggal Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri mungkin tidak akan berkekalan kerana beliau tiada wawasan dan karisma untuk melakar masa depan negara, menurut seorang penganalisis politik.

Oh Ei Sun daripada Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, pentadbiran Ismail sebagai Perdana Menteri bersifat sementara, dan beliau meramalkan Naib Presiden Umno itu hanya akan menyandang jawatan sehingga pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Katanya, puak utama dalam Umno yakin akan menang pada PRU dan dapat meletakkan orangnya sendiri di jawatan tertinggi itu, manakala Ismail tidak mendapat sokongan akar umbi.

“Sejak mula, pentadbiran semasa adalah hasil gabungan bagi kemudahan politik yang lemah dan teragak-agak. Justeru, menjadi perkara biasa bagi ahli atau penasihat berkuasa pentadbiran berasa bebas untuk menyuarakan pendapat.

Oh Ei Sun.

“Mereka boleh berbuat demikian dengan sewenang-wenangnya kerana pemecatan mereka daripada kerajaan mungkin juga menandakan permulaan kepada tamatnya pentadbiran,” katanya, merujuk kepada kritikan lantang Najib Razak terhadap prosedur operasi standard (SOP) kerajaan bagi perayaan Thaipusam.

Menteri Sumber Manusia M Saravanan turut mengkritik SOP itu, memberi amaran bahawa ia tambah menghakis kepercayaan masyarakat India terhadap kerajaan. Ismail tidak hadir pada sambutan perayaan itu di Batu Caves, walaupun Najib berada di sana.

Oh berkata Ismail, walaupun sebagai Perdana Menteri, tidak berjaya meraih tahap sokongan akar umbi lebih daripada yang dinikmati Najib atau Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

“Najib mempunyai kewibawaan bangsawan dan Melayu kukuh yang membolehkan beliau bebas mendekati masyarakat lain tanpa menghakis pangkalan Melayunya. Ini sesuatu yang hanya dapat dicemburui Ismail dari jauh,” katanya.

Ismail sepatutnya menganggap dirinya bertuah kerana dapat menjadi Perdana Menteri dan patut menikmati “hari-hari berkuasanya yang terhad” sebaik mungkin.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid.

Penganalisis Universiti Sains Malaysia Ahmad (USM) Ahmad Fauzi Abdul Hamid berkata, Ismail perlu melakukan lebih banyak lagi untuk menjalin hubungan dengan masyarakat bukan Melayu.

Ismail bertindak lebih kepada sebagai ahli politik sedangkan beliau sepatutnya menjadi negarawan, katanya.

Fauzi mengakui bahawa kelangsungan kerjaya politik Ismail menjadi keutamaan buat masa ini, walaupun jenama Keluarga Malaysianya telah terjejas.

Bagaimanapun, beliau tidak melihat Ismail dikalahkan oleh tokoh-tokoh seperti Najib.

“Ismail sentiasa mempunyai imej berpaksikan Melayu. Najib yang lebih liberal membantu Barisan Nasional (BN) menjalin hubungan dengan masyarakat bukan Melayu dengan cara yang tidak boleh dicapai Ismail,” kata Fauzi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.