
Aliff dan kakaknya sudah membayar RM34,000. Aliff tinggal sehelai sepinggang, namun Ah Long masih mahu “memerah” RM11,000 daripadanya.
Aliff (bukan nama sebenar) kini dalam pelarian untuk mengelak asakan Ah Long namun telefonnya digodam dan gambar beliau sekeluarga di viral dengan mesej meminta orang ramai memukulnya ‘kerana tidak bayar hutang.’
Pengalaman perit Aliff bermula apabila perlu mendapatkan pinjaman segera untuk membantu ayahnya yang turut menjadi mangsa scammer.
Ketika itu pembantu kedai jualan kasut itu menganggur – negara di bawah PKP kerana pandemik Covid-19 semakin mengganas.
“Saya pinjam RM300 saja. Mula-mula nak bantu ayah kena ‘scam’. Ayah minta tolong saya. Saya tak bekerja kerana ketika itu PKP. Kawan cadangkan pada saya aplikasi ni. Muat turun dari ‘app store’ saja. Lepas itu hantar permohonan (melalui aplikasi) saja.
“Kita kena bagi salinan kad pengenalan dan buat video yang mengatakan kita pinjam duit daripada aplikasi. Itu sahaja, terus dapat,” katanya kepada FMT.
Walaupun dijanjikan pinjaman penuh RM300, Aliff, dia hanya menerima RM150.
“Tempoh bayar balik adalah tujuh hari. Mula-mula saya kena bayar RM300 saja. Tapi saya dah tak boleh bayar. Jumlah itu naik jadi RM800, RM1200, RM1,500. Terpaksa saya berbincang dengan keluarga. Terpaksa libatkan kakak saya dalam isu ini.
“Kakak saya sudah banyak sangat habis duit sebab isu ini. Sudah lebih RM30,000 dia habis. Kali pertama bayar saya sudah habis RM8,000. Kemudian datang lagi RM8,000…RM6,000.
“Mereka kata yang saya bayar sebelum ini, pokok sahaja. Belum habis bayar lagi. Terakhir, jumlah RM6,000. Jadi jumlah keseluruhan saya dan kakak habis bayar RM34,000,” kata beliau.
Aliff berkata beliau tidak ada pilihan kecuali meminjam daripada Ah Long secara dalam talian untuk membayar hutang yang diambil sebelumnya.
“Saya terpaksa pinjam duit daripada aplikasi lain sebab saya nak cari duit untuk bayar hutang terdahulu. Akhirnya, saya sudah pinjam 15 aplikasi. Saya korek yang lain, untuk bayar yang ini. Korek yang lain, untuk bayar yang itu,” keluhnya kesal.
Aliff hidup dalam ketakutan dan menanggung rasa malu selepas Ah Long bertindak menggodam telefon pintarnya dan memviral gambar-gambar yang ada di dalam termasuk ahli keluarga dan teman wanitanya.
“Saya pernah di viralkan. Lepas itu, saya terus bayar. Tapi orang dah tengoklah gambar itu. Saya pernah di viralkan, dia (Ah Long) siap sunting gambar dan dia tahu lokasi saya berada. Kawan saya yang telefon dan beritahu, ‘eh gambar kau viral’.
“(Ah Long) tulis, ‘Ini budak hutang tak bayar. Lari. Jumpa, kasi pukul saja’. Orang yang tengok akan fikir kita berhutang dan lari. Padahal kita sudah bayar. Lebih daripada kita pinjam pula tu.”
Selepas “gali lubang, tutup lubang”, Aliff berkata dia sudah tidak tahan dan tampil membuat aduan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Kisah Aliff hanya secebis daripada puluhan ribu kes individu terjerat dengan pinjaman Ah Long.
Statistik polis menunjukkan sejak 2019 sehingga Oktober lalu, sebanyak 3,149 aduan membabitkan pinjaman Ah Long direkodkan.
Menurut PPIM, lebih 80% kes Ah Long membabitkan kaum Melayu.
Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata keberadaan Ah Long secara berleluasa kini adalah disebabkan adanya permintaan.
“Ah Long ini, wujud sebab ada permintaan. Zaman Rasulullah dulu, zakat pun orang tak ambil. Maknanya, dalam sistem kita ada kelompangan. Ini kelemahan daripada sistem pentadbiran sebenarnya.
“Contohnya (rakyat) nak berniaga gerai, nak pinjam RM3,000 hingga RM4,000 pun, belum tentu dapat. Ini masalah sistem kita,” katanya kepada FMT.
Menurut Nadzim, peminjam Ah Long bukan golongan miskin sahaja.
“Contohnya seorang peniaga membekal barang berjuta-juta. Tapi bayaran tak masuk (urusan perniagaan secara hutang). Rumah, kereta nak kena bayar. Akhirnya dia terpaksa meminjam. Nak pinjam kat mana? Baitulmal? bank?,” kata beliau.
Nadzim berkata, PPIM atas rasa prihatin tampil dan cuba membantu mereka yang dihambat Ah Long.
“Kita cuba berbincang dengan Ah Long. Kita minta mereka kira balik apa tuntutan mereka. Kita suruh kira ikut apa yang kerajaan benarkan. Sebenarnya kerajaan pun tak benarkan jadi mereka tak ada lesen pun.
“Tapi kita tak nak ajar masyarakat kita, bila dah pinjam, tak bayar balik. Jadi kita bagi dia setakat 18% yang kerajaan benarkan sahaja. Lepas itu, bahagilah untuk 10 bulan ke, untuk beri masa kepada peminjam buat bayaran,” jelasnya.
Dalam kes Aliff, beliau masih berharap PPIM dalam menyelesaikan masalahnya agar tidak lagi menjadi buruan Ah Long.