Alam Flora kutip 30,000 tan sisa di Pahang susulan banjir

Alam Flora kutip 30,000 tan sisa di Pahang susulan banjir

Fasa kutipan selesai pada 19 Jan lepas, manakala fasa pembersihan yang dimulakan minggu lepas dijangka selesai akhir bulan ini.

Selepas 33 hari kerja-kerja kutipan sisa dan pembersihan banjir dilaksanakan, Alam Flora masih meneruskan operasi di daerah Bentong dan Temerloh, Pahang.
PETALING JAYA:
Kerja-kerja pembersihan oleh Alam Flora Sdn Bhd, melibatkan lapan daerah terjejas banjir di Pahang, merekodkan kutipan kira-kira 30,000 tan sisa.

Selepas 33 hari kerja-kerja kutipan sisa dan pembersihan banjir dilaksanakan, syarikat berkenaan masih meneruskan operasi di daerah Bentong dan Temerloh, lapor Kosmo.

“Operasi melibatkan dua fasa iaitu kutipan dan pembersihan, yang mana fasa kutipan telah siap pada 19 Januari lepas, manakala fasa pembersihan yang dimulakan minggu lepas dijangka selesai pada akhir bulan ini,” kata Timbalan Pengurus Besar (Bahagian Operasi) Alam Flora Raja Kamal Azizol Raja Ibrahim semalam.

Katanya, operasi telah ditamatkan di semua daerah lain, kecuali Bentong dan Temerloh, di mana kerja pembersihan dianggarkan pada tahap 30% siap.

“Untuk dua daerah ini, kami lihat terlalu banyak sisa terutamanya di dalam longkang, dengan sisa seperti selut sedalam dua kaki (0.6m) mengakibatkan kerja-kerja pembersihan memerlukan lebih masa.”

Tambahnya, pihak berkuasa tempatan turut terlibat dalam kerja-kerja tersebut di daerah Kuantan, Bentong, Temerloh, Pekan, Lipis, Maran, Pekan dan Bera.

Sekitar 500 buah jentera digunakan dalam operasi Alam Flora, termasuk jentera berat yang dipinjam dari Kuala Lumpur dengan sokongan 1,500 orang pekerja, katanya.

Menurut Raja Kamal Azizol, fokus fasa pembersihan adalah kawasan longkang yang dipenuhi lumpur, kawasan jalan yang berdebu dan kawasan rumput yang diliputi lumpur, di mana kaedah manual perlu digunakan supaya rumput tidak mati.

“Cabaran utama kami adalah membersihkan sisa longkang, yang mana ia tidak boleh dibuat secara manual kerana akan mengambil masa lama selain memenatkan pekerja, jadi kami gunakan jentera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.