
Faizal berkata, apa yang berlaku antara Zii Jia dan BAM bukanlah sesuatu yang diinginkan pendokong dan penyokong sukan badminton negara.
“Jika kepentingan negara diutamakan, sudah tentu ada jalan penyelesaiannya.
“Pada hemat saya isu di antara BAM dan Lee Zii Jia bukanlah perkara yang rakyat dan para pendokong serta penyokong sukan badminton inginkan ketika ini.
“BAM dan Lee Zii Jia mesti mencuba bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian untuk isu ini. Saya akan bertemu dengan kedua belah pihak dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan.
Faizal berkata, semua pihak tidak seharusnya mempertaruhkan masa depan pemain dan kedudukan Malaysia di pentas badminton antarabangsa disebabkan isu itu.
Pemain ranking ketujuh dunia itu digantung daripada menyertai kejohanan antarabangsa selepas mengumumkan keluar dari badan induk badminton negara, 11 Jan lalu.
Bekas juara All England itu mendedahkan tindakannya bukan disebabkan wang ringgit.
BAM menerusi Timbalan Presidennya Jahaberdeen Mohamed Yunood hari ini mengesahkan Zii Jia digantung selama dua tahun.
Selain itu, BAM juga mengenakan tindakan ke atas bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei yang secara tiba-tiba meninggalkan persatuan itu atas alasan kesihatan dengan hukuman sama bermula 31 Okt tahun lalu.
Sebelum ini, BAM turut menggantung Tan Chung Seang dan Toh Ee Wei kerana meninggalkan kem latihan negara, namun Ee Wei kemudian menyertai semula BAM.