
Poon berkata, tindakan keluar parti dibuat ADUN Sri Tanjong Justin Wong dan ADUN Elopura Calvin Chong, dibuat mungkin disebabkan pembentangan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti, dalam sesi Parlimen akan datang.
Peletakan jawatan kedua-dua ADUN berkenaan sekadar untuk berselindung sebelum RUU terbabit dibentang dan diluluskan, katanya.
Selain Wong dan Chong, turut sama mengumumkan keluar parti adalah bekas senator Adrian Lasimbang.
Poon juga mendesak Wong dan Chong berundur daripada kekal menjadi ADUN dan tidak menyalahgunakan mandat rakyat dengan mengisytiharkan mereka sebagai wakil bebas atau menyertai parti lain.
Poon berkata, beliau hairan dengan alasan dikemukakan kerana tidak lagi mempunyai kepercayaan terhadap dirinya sebagai ketua. “Saya langsung tidak mempunyai idea apa yang ingin mereka sampaikan,” katanya dalam kenyataan.
“Kami baharu sahaja dua bulan masuk dalam penggal baharu dalam jawatankuasa negeri dan mereka sudah tidak gembira? Penggal ini berlangsung selama tiga tahun…pastinya ia bukan alasan sebenar.”
Wong semalam, berkata punca keluar parti didorong kurangnya rasa keyakinan terhadap kepimpinan DAP Sabah, terutama Poon. Kepimpinan yang hilang arah tuju, persengketaan dalaman serius dan kurang berkomunikasi antara pemimpin, selain berpandangan parti tidak lagi berjuang untuk rakyat, menjadi alasan beliau berundur daripada DAP.
Poon berkata, beliau tidak pernah memberi teguran terhadap Wong, ADUN yang berkhidmat dalam penggal pertamanya, walaupun wujud “kekurangan”, terutama gagal hadir tanpa alasan kukuh dalam mesyuarat pertama jawatankuasa.
“Tahun lalu, saya ada berkunjung ke Tawau dan cuba bertemu dengannya bagi membincangkan apa sahaja isu yang dihadapi, tetapi beliau
sukar sekali untuk dibawa berjumpa kerana melayan keluarganya makan malam,” katanya.
Poon turut mempersoalkan maklumat berhubung ada individu sengaja mencetuskan isu dan mewujudkan persengketaan dalaman, seperti didakwa Wong.
Katanya, beliau turut menolak dakwaan Chong dipinggirkan, sambil menyatakan ADUN Elopura itu bertanding jawatan dalam semua parti konvensyen, namun gagal dipilih.