
Bercakap kepada FMT, jurucakap itu berkata, penganjur percaya adalah hak mereka untuk berhimpun secara aman seperti termaktub dalam perlembagaan berdasarkan “pematuhan ketat SOP dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara.”
“Peraturan undang-undang secara konklusif menetapkan protes aman tidak menyalahi undang-undang hanya kerana tiada pemakluman diberikan kepada Ketua Polis Daerah,” katanya kepada FMT.
“Protes aman tetap diteruskan, namun apa sahaja kesalahan yang didapati berlaku ketika dan selepas protes, itu termasuk dalam perbincangan akademik lain yang tidak berkait dengan situasi semasa.”
Mereka berkata, pihaknya sudah menjangkakan polis akan bertindak melencongkan laluan trafik dan menutup beberapa stesen kereta api, LRT dan MRT susulan demonstrasi itu, namun masih menyatakan rasa tidak bersetuju tindakan seumpama itu dibuat.
“Pengumuman rasmi oleh Jawatankuasa Bertindak Tangkap Azam Baki berhubung perkara itu akan dibuat malam ini, jam 9 malam.”
Terdahulu, dilaporkan protes berkenaan akan diadakan membabitkan tiga tuntutan, iaitu Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ditangkap segera, tindakan undang-undang diambil terhadapnya dan SPRM diletakkan bawah bidang kuasa Parlimen.
Hari ini, Ketua Polis Daerah Dang Wangi Noor Dellhan Yahaya dalam sidang media berkata, pihaknya belum menerima pemakluman rasmi berhubung perhimpunan itu seperti dikehendaki mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012.
Noor Dellhan ketika mengulas lanjut berkata, pihaknya memberi amaran supaya orang awam tidak terbabit dalam perhimpunan berkenaan, selain mengingatkan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang cuba berhimpun.
“Mahkamah sudah mengeluarkan perintah membenarkan polis menyekat sesiapa sahaja yang mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka, Sogo dan Masjid Jamek,” katanya selain menambah bahawa perintah mahkamah itu berkesan selama tujuh hari.
Beberapa stesen LRT, MRT, monorail dan KTM akan ditutup sementara bermula 7 pagi, selain lencongan laluan trafik dilakukan membabitkan Jalan Kuching, Jalan Kinabalu, Jalan Maharajalela, Jalan Hang Tuah, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.