Tiba masa kerajaan-pembangkang bincang pertimbang pilihan raya kerajaan tempatan, kata Azalina

Tiba masa kerajaan-pembangkang bincang pertimbang pilihan raya kerajaan tempatan, kata Azalina

Pilihan raya kerajaan tempatan dilihat mampu mencegah penyalahgunaan kuasa menjalankan pentadbiran membantu masyarakat di kawasan perumahan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said, berkata walaupun pilihan raya kerajaan tempatan bersifat sensitif, namun tindakan itu dilihat usaha mencegah penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa menjalankan pentadbiran membantu masyarakat. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Sudah tiba masa kerajaan pusat berbincang bersama pembangkang mewujudkan pilihan raya kerajaan tempatan sebagai kaedah membantu komuniti setempat bersuara berhubung kesan pembangunan di persekitaran mereka, kata bekas menteri.

Azalina Othman Said (BN-Pengerang), berkata pilihan raya kerajaan tempatan dilihat mampu mencegah penyalahgunaan kuasa dalam menjalankan pentadbiran membantu masyarakat di kawasan perumahan, khususnya di kawasan berisiko tinggi.

“Kita berada di bandar dan kita tak boleh beranggapan bencana yang berlaku (di luar bandar) tidak boleh berlaku pada kita. Saya lihat itu (pilihan raya kerajaan tempatan) sebagai salah satu cara untuk membantu masyarakat supaya mereka boleh bersuara sama ada pembangunan itu boleh diterima ataupun tidak.

“Tetapi, ini satu perkara yang begitu sensitif dan saya tidak pasti sama ada MoU (Memorandum Persefahaman) antara kerajaan dan pembangkang boleh bercakap mengenai pilihan raya kerajaan tempatan ini sebagai usaha mencegah penyalahgunaan kuasa oleh pihak berkuasa menjalankan pentadbiran membantu masyarakat,” katanya ketika membahaskan usul berhubung bencana banjir, di Dewan Rakyat.

Sementara itu, Azalina yang juga Penasihat Khas (Undang-Undang dan Hak Asasi) kepada Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, turut mencadangkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) melihat peranan boleh diambil komuniti dari aspek mitigasi, dalam usaha membantu pengumpulan data dan penilaian kawasan berisiko tinggi.

Beliau turut menekankan peranan komuniti dan pemimpin tempatan, sebagai pihak pertama yang mampu bertindak balas terhadap sebarang bencana, sebelum agensi penyelamat kerajaan tiba ke lokasi.

“Dulu kita ada rukun tetangga, kita ada JKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan) kampung… jadi sudah tiba masanya kita wujudkan semula satu jawatankuasa di peringkat masyarakat setempat,” katanya.

Beliau turut meminta Menteri Kewangan Tengku Zafrul Aziz menyemak semula sistem tuntutan insurans kenderaan yang ketika ini tidak ada klausa khas membolehkan pemilik kenderaan menuntut ganti rugi, sekiranya berlaku kerosakan disebabkan banjir.

“Sudah tiba masanya buka sistem insurans dalam negara kita supaya ada klausa menuntut bila berlakunya kerosakan disebabkan banjir.

“Sebab saya dimaklumkan dalam insurans kereta tidak ada tuntutan untuk bencana alam semulajadi, apa yang ada keadaan yang boleh dilihat akan berlaku kepada bencana, tetapi bukan bencana yang berlaku secara tiba-tiba sebagai salah satu tuntutan insurans,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.