Siasatan kehilangan pastor Joshua, isteri terjejas akibat kelewatan polis, SUHAKAM diberitahu

Siasatan kehilangan pastor Joshua, isteri terjejas akibat kelewatan polis, SUHAKAM diberitahu

Kumpulan pemerhati mengkritik polis atas kelewatan dan jurang dalam siasatan mereka.

Laporan polis pertama mengenai kehilangan Joshua Hilmy dan Ruth Sitepu dibuat pada Mac 2017, tetapi polis hanya memanggil saksi pertama untuk disoal siasat sembilan bulan kemudian. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Dalam hujah lisan kepada inkuiri awam berhubung kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isterinya dari Indonesia, Ruth Sitepu, beberapa kumpulan pemerhati mengkritik ketidakcekapan polis dalam menjalankan siasatan.

Dalam hujah lisan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Andrew Khoo daripada Majlis Peguam mendapati “siasatan kurang bermutu” yang menurutnya kurang tindakan segera dan sifat ingin tahu.

Katanya, polis mengambil masa lebih dua tahun untuk mengumpul keterangan dan mengedarkan risalah mengenai kehilangan pasangan itu.

“Orang sudah lupa menjelang masa itu,” kata Khoo.

Peguam Andrew Khoo.

Beliau berkata, laporan polis pertama kehilangan pasangan itu dibuat pada Mac 2017, tetapi polis hanya memanggil saksi pertama (beradik Joshua) untuk disoal siasat pada Disember 2017, hampir setahun selepas pasangan itu hilang.

Katanya, tindakan mereka dalam menjalankan siasatan itu kurang berbanding ketika kes itu mula membabitkan “VVIP”, iaitu Khairy Jamaluddin dan bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Nama mereka timbul dalam beberapa e-mel yang diterima Joshua sebelum kehilangannya. E-mel itu sepatutnya daripada Khairy dan salinan untuk Najib. Ia turut mempunyai lambang kerajaan.

Pengirim itu, yang menggunakan alamat e-mel tidak diketahui, meminta Joshua menghentikan kegiatan pembaptisan. Mereka juga berkata, mereka lebih gemar jika Joshua meninggalkan negara ini.

Kelewatan dalam siasatan turut dibangkitkan dalam hujah lisan peguam yang mewakili keluarga Sitepu dan NGO Indonesia Kontras. Kedua-dua kumpulan itu berkata, siasatan lembab dengan jurang masa yang tidak boleh dijelaskan.

Peguam Sitepu berkata, bukti yang dikemukakan dan keterangan saksi menunjukkan mereka hilang secara paksa.

“Kerajaan dan agensi gagal membuktikan kes mereka.”

Peguam keluarga Philip Koh dan Audrey J Pillai berkata, ia adalah “bukti fakta sama” apabila dibandingkan dengan kehilangan pastor Raymond Koh. Kedua-dua kes mempunyai unsur ancaman dan gangguan serta “aktiviti agama sensitif”.

Tiada bukti jelas

Sementara itu, dalam hujah lisan kepada polis, pegawai kanan Ahmad Dzaffir Mohd Yussof yang ditemani Muhammad Sabri Mohd Raziff berkata, sepanjang inkuiri itu, tiada bukti jelas pasangan itu hilang secara paksa oleh mana-mana individu atau kumpulan.

Beliau menekankan siasatan dijalankan berdasarkan kemampuan terbaik mereka dan masih diteruskan.

“Polis turut mengambil pelbagai cara untuk mengesan orang hilang itu, tetapi siasatan menunjukkan tiada unsur jenayah terbabit.

“Sebarang dakwaan dan tanggapan pembabitan pihak penguatkuasaan adalah tidak berasas dan perlu ditolak kerana ia menjejaskan kredibiliti dan imej polis.”

Dzaffir berkata, pastor Joshua turut menyertai pembaptisan orang Melayu beragama Islam dan didakwa mengeluarkan kenyataan menghina agama lain secara terbuka di Facebooknya, yang mungkin menimbulkan kemarahan individu tertentu.

Ini boleh menyebabkan mereka “mengambil tindakan sendiri” dengan mengganggu atau mengugut beliau.

Khoo juga bersetuju dengan polis bahawa tiada bukti jelas boleh membuktikan secara konklusif ia adalah kes kehilangan paksa.

“Kita mungkin perlu menilai beberapa bukti berasingan atau saling berkaitan,” katanya merujuk kesamaan kes pastor Koh, dengan SUHAKAM menyimpulkan ia adalah kehilangan paksa yang dilakukan ejen kerajaan, termasuk Bukit Aman.

Joshua, orang Melayu yang memeluk agama Kristian dan isterinya, Sitepu hilang sejak November 2016.

Inkuiri awam SUHAKAM ditubuhkan untuk meneliti kehilangan mereka. Ia berakhir dengan hujah lisan oleh semua pemerhati hari ini, selepas prosiding hampir setahun. Panel itu memanggil keseluruhan 26 saksi.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.