Selepas komen ‘orang utan’, Zuraida perlu ambil serius projek pemuliharaan hijau

Selepas komen ‘orang utan’, Zuraida perlu ambil serius projek pemuliharaan hijau

Teresa Kok menggesa Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi, menyemak dan meneliti projek pemuliharaan dan melaksanakannya dengan strategi komunikasi yang betul.

Teresa Kok berkata Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi mesti merangka strategi baharu dan komprehensif untuk menangani sentimen antiminyak sawit di seluruh dunia.
PETALING JAYA:
Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin harus mengambil serius projek pemuliharaan hijau di bawah Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), kata Ahli Parlimen DAP Teresa Kok.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kok merujuk kepada komen Zuraida pada seminar dan dialog MPOC pada 5 Jan, bahawa orang utan akan membunuh apabila melihat kelibat manusia.

Menteri itu juga mendakwa bahawa Malaysia masih mempunyai banyak orang utan, bertentangan dengan dakwaan bahawa industri minyak sawit membunuh haiwan berkenaan.

“Saya ingin menyeru Menteri Zuraida Kamaruddin untuk menyemak dan meneliti projek-projek pemuliharaan hijau di bawah Dana Pemuliharaan Hijau Minyak Sawit Malaysia (MPOGCF) dan melaksanakan projek-projek ini secara sistematik dengan strategi komunikasi yang betul,” kata Kok yang juga bekas Menteri Perusahaan Utama di bawah Pakatan Harapan (PH).

“Ini supaya Malaysia boleh menguar-uarkan projek-projek yang berimpak tinggi tertentu yang disumbang oleh industri sawit Malaysia untuk melawan dakwaan palsu terhadap minyak sawit di banyak tempat di dunia ini,” kata Ahli Parlimen Seputeh itu.

Kok berkata, minyak sawit dan produk berasaskan sawit berada dalam senarai 10 teratas dari segi nilai eksport untuk Malaysia, menjadikannya sebagai aktiviti ekonomi penting dan penyumbang utama kepada kadar keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara.

“Sekiranya Malaysia sebagai negara pengeluar sawit tidak merangka strategi yang komprehensif untuk melawan sentimen anti-minyak sawit seluruh dunia, ia pasti akan menjejaskan industri minyak sawit kita dan menjejaskan kehidupan berjuta-juta orang yang kehidupan mereka bergantung kepada industri ini.

Kok percaya sentimen antiminyak sawit sudah menular ke beberapa bahagian di Timur Tengah, jadi bukanlah berita mengejutkan seperti disebut Zuraida dalam ucapannya.

“Saya berharap pengalaman Zuraida Kamaruddin di negara-negara Arab akan menyebabkan beliau faham dan melaksanakan dasar yang digubal oleh saya untuk menghentikan perluasan penanaman sawit di Malaysia, selain menggunakan ‘Cess Fund’ daripada industri minyak sawit untuk menanam pokok jenis hutan, dan mengamalkan projek hijau dan pemuliharaan hidupan liar akibat terjejas susulan aktiviti manusia di bawah MPOGCF,” katanya.

Kok turut kesal dengan kelembapan dalam penanaman semula pokok hutan di 2,500 hektar hutan terdegradasi di Lower Kawag di Lahad Datu, Sabah, selain projek menanam lebih banyak rumput gajah dan mewujudkan koridor gajah di wilayah utara Sabah.

“Program-program tersebut disambut baik NGO dan pakar pemuliharaan tetapi tidak diambil berat oleh mantan Menteri Khairuddin Aman Razali. Kesemuanya digubal demi melawan persepsi negatif terhadap Malaysia dan memberi gambaran industri minyak sawit kita yang mengambil berat tentang pemuliharaan alam sekitar yang jarang diketahui oleh orang ramai,” katanya.

Kok berkata, sumbangan daripada pengusaha industri untuk projek pemuliharaan hijau berselerak di sekitar Malaysia dan tidak ditumpukan pada kawasan di mana berlaku konflik manusia dan hidupan liar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.