Pergolakan dalaman PAS beri isyarat Hadi berdepan defisit kepercayaan, kata penganalisis

Pergolakan dalaman PAS beri isyarat Hadi berdepan defisit kepercayaan, kata penganalisis

Penganalisis berkata kesan daripada sikap angkuh Presiden PAS itu yang tidak mengendahkan suara akar umbi mengenai MN, ditunjukkan dalam keputusan PRN Melaka apabila semua calonnya tewas.

Penganalisis berkata, walaupun PAS terkenal dengan semangat kesetiaan dan wala’ kepada kepimpinan tertinggi, dalam hal Muafakat Nasional, akar umbi dikatakan tidak gemar dengan keputusan Presiden yang condong kepada Bersatu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Perang mulut antara dua kem di dalam PAS – pro Muafakat Nasional (MN) dan pro Perikatan Nasional (PN) – yang semakin jelas dipertontonkan kepada umum memberi isyarat bahawa institusi presiden parti itu berdepan defisit kepercayaan akar umbi, kata seorang penganalisis politik.

Bercakap kepada FMT, felo kanan Akademi Nusantara (Penyelidikan Strategik), Azmi Hassan berkata, kesan daripada sikap angkuh Abdul Hadi Awang tidak mengendahkan suara akar umbi yang mahu MN direalisasikan jelas terlihat dalam keputusan pilihan raya negeri (PRN) Melaka apabila semua calon PAS tewas.

Malah katanya, tindakan Presiden PAS itu menggugurkan Ahli Parlimen Kuala Nerus Khairuddin Aman Razali, yang dikatakan cenderung kepada MN – sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat adalah manifestasi kemuncak pertelingkahan dua kem dalam parti itu.

Walaupun PAS terkenal dengan semangat kesetiaan dan wala’ kepada kepimpinan tertinggi Azmi berkata, dalam isu MN akar umbi dikatakan tidak gemar dengan keputusan Hadi yang condong kepada Bersatu.

Azmi Hassan.

“Akar umbi lebih selesa dengan MN dan ini jelas dalam keputusan PRN Melaka apabila kekalahan PAS berkait rapat dengan perasaan akar umbi terhadap MN.

“Bila perkara ini (pergolakan antara kem MN dan PN) keluar daripada kepompong PAS, yang merupakan isu dalaman kekal sebagai isu dalaman tetapi sekarang dah pecah keluar menunjukkan kepimpinan Presiden sudah mulai rapuh,” katanya merujuk kepada tindakan Hadi yang menggugurkan Khairuddin tanpa penjelasan terperinci.

PAS sebelum ini hanya menyatakan pengguguran bekas Menteri Persekutuan itu disebabkan isu disiplin. Bagaimanapun Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga AJK PAS Pusat berpandangan, isu tersebut perlu dijelaskan kepada umum dan tidak terhad kepada ahli parti semata-mata.

Mengulas mengenai isu itu Azmi berkata, ia mungkin berpunca daripada sikap Hadi sendiri yang mahu menunjukkan kepada sekutunya – Bersatu – bahawa PAS setia bersama PN.

“Mungkin juga terdapat tekanan dari luar. Pada dasarnya, tindakan memecat Khairuddin itu secara tersirat ada (sebabnya).

Ahmad Atory Hussain.

Beliau turut menjangkakan sekiranya PRN Johor diadakan dalam tempoh terdekat, PAS akan menerima nasib sama seperti di PRN Melaka dan tidak mustahil perpecahan dalam parti itu akan menjadi lebih buruk.

Seorang lagi penganalisis Ahmad Atory Hussain berkata, pengguguran Khairuddin kemungkinan besar berkait rapat dengan isu disiplinnya yang dikaitkan dengan tidak patuh kepada SOP ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), dakwaan skandal dengan seorang usahawan wanita, malah cuba merekrut kumpulan untuk menentang Presiden parti.

“Beri pendapat dalam parti dialu-alukan, tetapi tidaklah sampai menghasut dan mewujudkan satu kumpulan atau puak yang akhirnya menentang pucuk pimpinan sehingga akhirnya PAS berpecah. Ini PAS tidak boleh bertolak ansur,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.