Orang utan bunuh manusia di Malaysia? Tanggapan Zuraida ‘pelik dan jahil,’ kata pencinta alam

Orang utan bunuh manusia di Malaysia? Tanggapan Zuraida ‘pelik dan jahil,’ kata pencinta alam

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu baru-baru ini berkata, jika orang utan jumpa manusia, haiwan itu akan bunuh manusia dahulu.

Andrew Sebastian berkata, kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin tidak banyak membantu dalam usahanya membidas kritikan berhubung kesan industri terhadap orang utan.
PETALING JAYA:
Pencinta alam sekitar terkejut dengan dakwaan “pelik dan jahil” Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Zuraida Kamaruddin bahawa di Malaysia, orang utan yang membunuh manusia dan bukan sebaliknya.

Presiden Persatuan Ekopelancongan dan Pemuliharaan Malaysia (ECOMY) Andrew Sebastian berkata, dakwaan Zuraida itu tidak membantu menangkis kempen anti minyak sawit di peringkat antarabangsa atau melindungi alam sekitar.

Pada 5 Jan lalu, Zuraida memberitahu majlis dialog Majlis Minyak Sawit Malaysia 2022 bahawa masih terdapat banyak orang utan di Malaysia. Beliau berkata demikian dalam menolak tanggapan orang utan makin pupus di Malaysia kerana penanaman pokok kelapa sawit.

“Di Malaysia, kalau anda jumpa orang utan, haiwan itu akan bunuh anda dulu, bukan anda bunuhnya, betul tak?” kata beliau kepada majlis itu.

Beliau berkata, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) mempunyai polisi menidurkan sementara dengan ubat pelali, haiwan seperti orang utan, harimau “dan singa” yang ditangkap untuk dibawa ke zoo, bukan membunuhnya.

Andrew menjelaskan singa tidak hidup di hutan belantara Malaysia manakala anggapan Zuraida orang utan membunuh manusia di negara ini juga amat tersasar.

“Ia sangat pelik dan jahil,” katanya.

Beliau juga berkata, Zuraida gagal untuk mengakui penurunan populasi orang utan yang didokumentasi dengan baik.

“Sejak 1973, dianggarkan terdapat 288,500 orang utan di Borneo dan menjelang 2025, ia dianggarkan menurun kepada 47,000 sahaja.

“Dan itulah sebabnya pada 2016, Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam (IUCN) menyenaraikan orang utan sebagai terancam kritikal,” katanya kepada FMT.

Andrew juga berkata PERHILITAN tidak beroperasi di Sabah dan Sarawak, habitat orang utan.

Jadi, katanya, kenyataan Zuraida tidak banyak membantu dalam usahanya membidas kritikan terhadap kesan industri tersebut kepada haiwan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.